suria

Tiga Warga Asing Telan 219 Ketul Dadah Yang Cuba Diseludup DiTahan Di KLIA

SEPANG: Trend menelan dadah untuk diseludup masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat semakin menjadi-jadi dengan kes terbaru melibatkan penangkapan tiga warga asing dalam tempoh satu jam pada 28 Februari lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Zainul Abidin Taib berkata, tiga kes itu membabitkan 219 ketul dadah bernilai RM1.05 juta.

Bercakap dalam satu sidang media di sini Rabu, Zainul Abidin berkata kes pertama melibatkan lelaki warga Nigeria berusia 30 tahun yang ditahan pada 7.45 malam sebaik sahaja dia tiba dari Kaherah, Mesir.

"Hasil imbasan mendapati suspek menelan 70 ketulan dadah seberat 1.276 kilogram bernilai kira-kira RM319,000," katanya.

Beliau berkata, kira-kira sejam kemudian, kastam menahan dua lagi lelaki yang tiba dengan penerbangan dari Cameroon/Bangkok membabitkan warga Republik Guinea dan Nigeria.

"Warga Guinea itu menelan 75 ketulan dadah seberat 1,668 gram bernilai RM417,000 manakala suspek warga Nigeria itu pula menelan 74 ketulan dadah seberat 1,294 gram bernilai RM323,500," katanya.

Dalam satu kes berasingan pada 3 Mac baru-baru ini, seorang lagi warga Nigeria ditahan pada pukul 1.10 pagi di KLIA sebaik sahaja dia tiba dari Lagos/Dubai apabila hasil imbasan badan mendapati ada imej yang meragukan.

"Hasilnya, 81 ketulan dadah dikeluarkan dari badannya. Maklumat lanjut masih belum diperolehi," katanya.

Beliau menambah, kesemua suspek itu tidak pernah berkunjung ke negara ini dan masuk menggunakan pas lawatan sosial.

Mereka kini direman 14 hari bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Kita sedaya upaya akan rangka strategi untuk menghindari atau mengurangkan kes seumpama ini termasuk menggunakan unit risikan kita yang memantau di KLIA untuk memerhati mereka yang mencurigakan," katanya.

Zainul juga berkata, sepanjang bulan lepas, 11 kes direkodkan di KLIA melibatkan rampasan dadah sebanyak 29.709 kg bernilai RM4.608 juta.

Katanya, rekod keseluruhan tahun ini pula menunjukkan sebanyak 14 tangkapan telah berjaya dibuat melibatkan rampasan dadah seberat 49.609 kg dengan nilai anggaran RM9.58 juta.

Artikel Lain