suria

'Presiden Kita' Tidak Sahkan Zaid Bertanding Atas Tiket Kita

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah Zamil Ibrahim yang dipecat dan kemudiannya mendakwa diri beliau sebagai Presiden Kita tidak mengesahkan Datuk Zaid Ibrahim bertanding di atas tiket Kita dalam pilihan raya umum akan datang.

Zamil berkata parti-parti seperti Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Kita sendiri sedar dengan permainan politik peribadi yang dimainkan oleh Zaid.

"Sementara tunggu pengesahan Pendaftar Pertubuhan (ROS), saya selaku Ketua Parti Kita yang telah dipilih sebulat suara dalam mesyuarat tergempar dua minggu lalu tidak mengesahkan Zaid bertanding bawah bendera Kita," kata Zamil dalam satu kenyataan, Rabu.

Zamil mendakwa, Zaid ketika menerajui Kita dalam masa yang singkat telah menunjukkan keegoannya dan hanya memikirkan tentang diri sendiri.

"Rakyat mesti sedar rekodnya yang asyik putar belit.

"Parti Umno, PKR dan Kita sekarang dah sedar dengan permainan politik peribadinya dan minta semua parti yang ingin membuat tawaran supaya tidak berbuat demikian," katanya.

Zamil turut menasihatkan Zaid supaya bersara dari politik atas alasan beliau "hanya memakai topeng liberal/demokratik, tetapi melakukan sebaliknya".

Kenyataan tersebut dibuat selepas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim, pada Rabu, mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Baharu, Kelantan, di atas tiket Kita dalam pilihan raya umum akan datang.

Zaid yang pernah bercadang membubarkan Kita menegaskan bahawa ahli-ahli dalam parti itu masih bersatu di bawah pimpinan beliau dan mengikut undang-undang, beliau masih lagi memegang jawatan presiden Kita.

Artikel Lain