suria

MCA Akan Desak Kadar Tol EDL Yang Lebih Rendah

JOHOR BARU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau akan membawa cadangan supaya kutipan tol di Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) Isnin depan.

Beliau berkata beberapa cadangan perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan sebelum caj tol boleh dikenakan.

Jelasnya, kadar tol yang akan ditetapkan perlu mengambil kira semua faktor agar ia tidak membebankan rakyat dan pihak konsesi tidak menanggung kerugian.

Dr Chua berkata adalah tidak masuk akal sekiranya pemandu perlu membayar tol hanya kerana terpaksa mereka melalui jalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) selain daripada laluan EDL kerana kedua-dua pondok tol akan ditempatkan di CIQ.

“Saya membantah sebarang bayaran yang memaksa pengguna membayar tol sekiranya mereka tidak menggunakan laluan EDL.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menentang sebarang caj tol yang dikenakan ke atas mereka yang laluan tersebut,” katanya sebelum menghadiri mesyuarat Barisan Nasional yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Seri Muhyiddin Yassin di Senai pada Selasa.

Dr Chua berkata DAP hanya tahu mengkritik kerajaan dalam isu tersebut namun mereka tidak tahu menyelesaikan masalah.

“Ada beberapa faktor yang perlu diambilkira. Bagaimanapun, kita akan umumkan sesuatu yang menceriakan bukan sahaja rakyat Johor malah semua pengguna jalan raya di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Jabatan Pendidikan Daerah Kulaijaya.

EDL sepanjang 8.1 kilometer dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Lebuh raya itu bertujuan menjimatkan masa dan menyelesaikan masalah kesesakan jalan terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan, di bandar raya ini.

Hanya pengguna keluar dan masuk dari Malaysia akan dikenakan bayaran tol manakala pengguna EDL yang tidak memasuki negara jiran terutama penduduk bandar raya ini yang ingin ke pusat bandar atau keluar menerusi susur Bakar Batu tidak perlu membayar sebarang tol.

Artikel Lain