suria

Majikan Perlu Sokong Dasar Gaji Minimum - Zainal Rampak

KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini sepatutnya menyokong dasar gaji minimum yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi dan bukannya membantah atau memberikan komen negatif, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak.

Beliau berkata tindakan majikan yang mendakwa syarikat akan gulung tikar jika gaji minimum diperkenalkan adalah lebih bersikap menjaga kepentingan masing-masing tanpa memperdulikan nasib pekerja mereka.

"Kata-kata ini memang sering kita dengar tetapi majikan masih lagi kekal menjalankan perusahaan kerana suasana negara kita aman, situasi politik stabil dan paling penting tiada tunjuk perasaan oleh pekerja," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Zainal berkata Pergerakan Kesatuan Sekerja (MTUC) telah memohon gaji minimum sebanyak RM1,200 sejak awal tahun 90-an lagi, namun dikurangkan kepada RM900 atas desakan majikan yang menyatakan kadar yang diminta oleh MTUC adalah terlalu tinggi.

"Kami menyangka dengan pengurangan tersebut ia akan dapat diterima oleh majikan tetapi tidak menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Zainal kadar gaji minimum yang sepatutnya adalah RM1,500 dan bukannya RM900 memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat.

"Jika dalam sebuah keluarga ada lima orang iaitu suami, isteri, dua orang anak yang bersekolah dan seorang lagi belum bersekolah...dengan perbelanjaan asas seperti makanan, perubatan, sewa rumah dan sebagainya, pendapatan RM900 adalah tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata terdapat kalangan pekerja yang terpaksa membuat kerja lebih masa atau membuat dua pekerjaan semata-mata untuk mendapatkan pendapatan lebih.

Dalam pada itu Zainal berkata majikan seharusnya memperuntukkan sebahagian daripada perbelanjaan tahunan mereka untuk melatih pekerja supaya dapat mempertingkatkan kecekapan dan seterusnya meningkatkan produktiviti syarikat.

"Berapa banyak peruntukan untuk latihan dan latihan semula yang telah disediakan oleh majikan untuk meningkatkan kecekapan pekerja demi kepentingan syarikat itu sendiri?," katanya.

Zainal berkata daripada 12 juta pekerja di seluruh negara kurang lapan peratus yang menjadi ahli kesatuan dan terlibat dalam Perjanjian Bersama di antara pekerja dan majikan.

Katanya bagi pekerja yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana kesatuan, terpulang kepada majikan masing-masing untuk menetapkan gaji minimum mereka. - BERNAMA

Artikel Lain