suria

Macam Mana Nak 'Hidup' Kalau Stesen TV Masih Kedekut?

Jurey Latiff
Jurey Latiff
Jurey Latiff

PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) telah mendedahkan kepada mStar Online kebanyakan stesen televisyen di negara ini “tidak berhati perut”.

Mana tidaknya, sejak tahun 1995 lagi, harga drama yang kita tengok di televisyen pada hari ini tidak pernah naik.

Telefilem seperti Cerekarama yang kita tonton di TV3 tu dibayar kepada penerbit dalam anggaran RM85,000 – RM89,000.

Kalau Astro pula mereka membayar RM80,000 – RM90,000. Cuma dalam hal ini yang paling tinggi bayarannya ialah daripada RTM iaitu sebanyak RM100,000 – RM110,000.

Bayangkan... selama ini orang selalu mengutuk RTM sebagai sebuah stesen televisyen kerajaan yang tak membangun tetapi sebenarnya stesen itulah yang menghargai orang-orang seni.

Mereka mengeluarkan peruntukan yang tinggi kepada drama-drama tempatan dan sekali gus membantu penerbit drama kita untuk berkarya.

Tapi masalahnya langkah promosi di RTM yang masih ditakuk lama dan harus diubah.

Saya bersetuju dengan teguran Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli yang mahu kerajaan campur tangan dalam menyelaraskan isu kadar pembelian industri kreatif.

Kalau stesen televisyen masih membeli drama atau program-program daripada produksi luar dengan kadar lama, industri drama tempatan tidak boleh berkembang.

Maka akan terhasillah banyak drama-drama sampah yang hanya mempunyai lima atau empat orang pelakon sahaja.

Ini kerana produser akan berhadapan dengan masalah untuk membayar pelakon serta krew produksi penggambaran.

Kalau masuk bab-bab kesan khas seperti perlu menghasilkan wajah-wajah hantu atau seram, kos untuknya adalah tinggi.

Tapi kadar bayaran di stesen televisyen masih lagi pada takuk lama.

Saya pernah bertanya kepada seorang penerbit drama, dia tak dapat untung besar apabila terpaksa menjual karyanya kepada TV3 kerana pulangannya tak sebenar mana.

Saya bertanya kalau macam tu kenapa tak jual saja kepada RTM untuk dapat bayaran lebih tinggi? Alasannya sebagai penerbit baru dia memerlukan populariti. Walaupun TV3 membayar murah tetapi drama yang keluar menerusi stesen televisyen itu akan meletup dan seterusnya menaikkan namanya.

Dalam hal ini, ramai penerbit televisyen tertekan kerana segala kos menerbitkan drama meningkat dengan mendadak.

Bayangkan, untuk menyewa sebuah rumah banglo bagi sehari penggambaran dianggarkan kira-kira RM1,000. Penggambaran biasanya tidak mengambil masa sehari. Kadang-kadang memerlukan masa lebih seminggu.

Itu tidak termasuk membayar pelakon lagi. Pelakon utama yang tarafnya seperti Rozita Che Wan, paling “cikai” untuk sebuah telefilem ialah antara RM8,000 – RM10,000.

Kos makan minum krew penggambaran pula untuk satu kepala ialah RM20. Kalau penggambaran di luar, pihak produser terpaksa membayar duit minyak dan juga menyewa penginapan para pelakon.

Semua kos itu meningkat tetapi kadar bayaran tidak dinaikkan sejak sekian lama.

Jadi, hasilnya nanti drama yang berkualiti rendah akan memenuhi saluran televisyen rumah kita.

Jadi, sudah tibalah masanya untuk stesen televisyen kita mengkaji semula kadar bayaran yang perlu diberikan kepada penerbit-penerbit kita agar karya yang bakal dihasilkan nanti adalah karya yang bagus.

Dalam masa yang sama ia dapat membantu meningkatkan gaji pekerja produksi yang dianggarkan kira-kira RM20,000 orang.

Kalau bayaran tak naik, pekerja krew dan pelakon nak makan apa?

NIEZAM: Dengar cerita ada produser drama tengah pening apabila Astro tiba-tiba membatalkan hasrat membeli drama mereka. Kenapa tu???

Artikel Lain