suria

Kerani Didakwa Rompak Warga Emas Bersenjatakan Sebilah Parang

KUALA LUMPUR: Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu terhadap pertuduhan merompak seorang warga emas dengan bersenjatakan sebilah parang, bulan lepas.

Muhammad Amier Yaakob, 25, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa merompak wang tunai US$200 (kira-kira RM600), sebuah iPod berjenama Apple, sebuah kamera Canon dan sebuah telefon bimbit Blackberry milik Mohamad Sham, 67, di hadapan rumah No 38 Jalan Setia Bakti 10, Bukit Damansara di sini pada 7 malam, 6 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Chew Zi Xian memohon supaya jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh, namun peguam Ahmad Zahari yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya baru tujuh bulan mendirikan rumah tangga.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain