suria

Kerajaan Selangor Hanya Bersandiwara Berhubung Skandal Lombong Pasir - MCA Selangor

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor hanya bersandiwara dengan meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menyiasat skandal perlombongan pasir negeri, kata MCA Selangor.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Wong Koon Mun berkata tidak mempunyai kuasa dan siasatan terhadap skandal itu tidak akan menyelesaikan masalah.

"memandangkan kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan isu kecurian pasir, mereka hanya bersandiwara dengan meminta Selcat, yang tidak mempunyai kuasa, untuk menyiasat supaya orang ramai akan berfikir bahawa mereka serius dalam isu ini.

"Selain itu, mereka meletakkan tanggungjawab itu kepada saksi dengan mendakwa bahawa mereka tidak hadir dan enggan membantu pendengaran Selcat dan kemudiannya menggunakan alasan bahawa mereka tidak mempunyai bukti sebagai satu usaha untuk menutup perkara itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Kubu Baru juga berkata kerajaan negeri tidak menyiasat isu itu malah selepas mereka menerima aduan.

"Laporan Ketua Audit Negara 2009, melaporkan bahawa kes kecurian pasir menjadi serius dan selepas Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengambil alih, satu juta tan pasir dicuri.

"Ini bersamaan dengan RM1.82 juta dalam bentuk cukai,"katanya.

Beliau mencabar kerajaan negeri supaya membuktikan Akta Kebebasan Maklumatnya adalah sah dengan membuka laporan kewangan dan audit anak-anak syarikat kerajaan negeri termasuk KSSB dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). - BERNAMA

Artikel Lain