suria

Jeyakumar Akan Tahu Esok Sama Ada Dia Boleh Merayu

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj akan mengetahui sama ada beliau boleh merayu dengan Mahkamah Persekutuan, Khamis, berhubung satu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak semakan kehakiman berhubung dana daripada Peruntukan Khas Kawasan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria yang mempengerusikan lima panel hakim menangguhkan keputusan mereka kepada esok untuk memutuskan sama ada atau tidak untuk membenarkan permohonan kepada Dr Jeyakumar untuk merayu selepas panel selesai mendengar penghujahan dari peguamnya Datuk S.Ambiga dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara.

Empat hakim yang lain dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.

Pada 10 Oktober, tahun lepas, tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan bahawa Dr Jeyakumar tidak boleh mencabar keputusan agensi-agensi kerajaan yang menolak permohonannya bagi dana daripada Peruntukan Khas Kawasan untuk pelbagai projek di kawasannya.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan kebenaran semakan kehakiman kepada Dr Jeyakumar dan membatalkan permohonan semakan kehakiman itu.

Pemimpin Parti Sosialis Malaysia memohon kebenaran untuk memulakan satu prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pengarah Pejabat Kemajuan Perak menolak permohonan mendapatkan dana untuk digunakan sebagai sumbangan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah anak Yatim Nurul Ihsan serta dana bagi projek kecil untuk faedah kampung-kampung Orang Asli.

Dr Jeyakumar menamakan Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Jabatan Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 29 Oktober, 2010.

Jeyakumar menuntut antara lain perisytiharan bahawa peruntukan khas itu diberi kepada semua Anggota Parlimen secara sama rata, mengikut Perkara 8 (1)Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, Ambiga berhujah bahawa pada 1975, satu peruntukan khas diperuntukkan dari Kumpulan Wang Disatukan dalam bajet Persekutuan bagi setiap kawasan Parlimen dan jumlah peruntukan itu berbeza setiap tahun.

Katanya peruntukan khas kawasan itu dipohon dari Parlimen oleh Perdana Menteri dan diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri di mana kuasa atau pihak berkuasa mempertimbang permohonan pembayaran dana yang kononnya diwakilkan kepada Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan/atau Pejabat-pejabat kemajuan negeri untuk setiap negeri.

Beliau berkata terdapat maklumat yang bercanggah daripada responden berhubung siapa yang mempunyai kuasa untuk mengawal dan mengagihkan peruntukan khas kawasan itu.

Ambiga berkata isu itu tidak akademik seperti yang dihujah oleh Suzana kerana dana diberikan setiap tahun dan Dr Jeyakumar ingin tahu cara dana itu diagih-agihkan.

Menjawab soalan Hakim Abdull Hamid bahawa forum yang sesuai untuk mendapatkan jawapan berhubung pembayaran dana adalah di Parlimen, Ambiga berkata:

"Kami tidak mendapat jawapan yang memuaskan, sebab itu kami berada di mahkamah.

"Kami tidak tahu bagaimana dana ini dikeluarkan. Dari segi sejarah, ia hanya dikeluarkan bagi Anggota Parlimen bagi kerajaan dan bukan Anggota-Anggota Parlimen pembangkang. Kami mengatakan bahawa terdapat diskriminasi dalam pemberian dana," katanya.

Suzana berkata isu itu adalah akademik kerana Dr Jeyakumar meminta peruntukan dana dalam kawasannya bagi tahun 2010. - BERNAMA

Artikel Lain