suria

Fatwa Rasuah BR1M Yang Dikeluarkan PAS Menghina Umat Islam - Ismail Sabri

BERA: PAS yang mengeluarkan fatwa kononnya wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu 'rasuah' sebenarnya menghina umat Islam yang menerimanya termasuk anggota parti itu sendiri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PAS tidak sepatutnya melabelkan bantuan itu sebagai rasuah kerana ia pemberian ikhlas kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

"Jika BRIM itu dianggap rasuah, maka pelbagai bantuan kerajaan kepada rakyat sebelum ini, adakah itu rasuah juga?" soalnya ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M kepada seramai 480 penduduk Parlimen Bera di sini.

Beliau turut kesal dengan dakwaan serta tuduhan PAS itu kerana bantuan yang diberikan kepada rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan latar belakang serta fahaman politik telah disalah anggap.

Katanya pembangkang hanya tahu menuduh kerajaan dengan pelbagai tohmahan sedangkan parti itu yang berkuasa di Kedah dan Kelantan berada dalam keadaan bercelaru.

"Di Kelantan, kerajaan PAS mengenakan pelbagai cukai termasuk cukai bakul penjaja kecil di pasar, cukai bangunan serta mengenakan sewa dan cukai yang tinggi dan membebankan rakyat tetapi gagal menyediakan kemudahan dan prasarana yang baik untuk rakyat.

"Manakala masalah air yang dialami rakyat negeri itu sekian lama juga tidak diatasi hingga sekarang," katanya.

Ismail Sabri turut menasihati mereka yang gagal atau tercicir mendapatkan BR1M supaya memohonnya sebelum 15 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Lain