suria

APMM Tahan Kapal Berlabuh Tanpa Kebenaran

JOHOR BAHRU: Kapal MV Tamina ditahan Agensi Penguatkuasaan Mariitim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan selepas didapati melakukan kerja-kerja kimpalan dan berlabuh tanpa kebenaran serta gagal melaporkan ketibaan kapal di perairan Johor Barat, Tanjung Piai Johor pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang (5 Mac 2012) itu, kapal berkenaan dikesan bot laju APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut sebelum menemuinya sedang berlabuh di kedudukan 3 batu nautika Barat Tanjung Piai, dekat sini, dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Haji Adon Shalan berkata, pihaknya menghampiri kapal terbabit dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ia didaftarkan di Liberia serta disyaki melakukan kerja-kerja panas tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut.

"Kapal yang membawa 18 anak kapal terdiri daripada sebelas warga Filipina, tiga warga Poland, tiga Ukraine dan satu German berusia antara 26 hingga 59 tahun melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran sebelum semua dokumen kapal dan kapten serta ketua jurutera dibawa ke pejabat APMM untuk siasatan lanjut," katanya.

Adon berkata, kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Dius Api, iaitu bersauh tanpa kebenaran, menjalankan kerja kimpalan tanpa memaklumkan Pengarah Laut serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Kita akan terus mempertingkat kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal-kapal yang melalui perairan sentiasa terjamin dan mereka mematuhi undang-undang Malaysia.

"APMM juga mengharapkan kerjasama daripada nelayan-nelayan tempatan dan orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan yang mencurigakan di perairan negeri ini," katanya di sini. -BERNAMA

Artikel Lain