suria

Wang RM888,000 Masih Dalam Akaun Pengarah Urusan LCL Corporation

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Selasa diberitahu wang RM888,000 yang dibayar oleh Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (Pempena) kepada LCL Interior untuk projek Restoran Malaysia di Dubai, masih berada dalam akaun Pengarah Urusan LCL Corporation Datuk Low Chin Meng.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasarudin Amir berkata ketika Low disiasat, wang itu masih berada dalam akaunnya.

Mohd Nasarudin, 40, yang merupakan Ketua Penolong Kanan Penguasa Cawangan Siasatan A SPRM, berkata Low memaklumkan wang berkenaan tidak dipulangkan kepada Pempena kerana anak syarikat Tourism Malaysia itu tidak memintanya kembali.

"Saya ada tanya pada Low kenapa dia tidak pulangkan wang RM888,000 itu walaupun projek restoran di Dubai tidak dilaksanakan, tetapi Low menyatakan Pempena belum minta wang berkenaan," katanya pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pempena Mohammad Rosly Md Selamat.

Peguam Saseedharan Menon, yang mewakili Mirza, kemudian menyoal Mohd Nasarudin mengapa beliau tidak merampas wang itu.

"Saya tidak boleh rampas, sepatutnya Pempena yang menuntut kembali wang itu," katanya.

Saseedharan: "Kenapa tak bekukan wang itu?

Mohd Nasarudin: "Tak ada jawapan".

Saseedharan : "Jadi, ini bermaksud Low yang melakukan penyelewengan RM888,000 itu dan dia sepatutnya dituduh di mahkamah".

Mohd Nasarudin: "Tak ada jawapan".

Saksi ke-11 pendakwaan itu turut bersetuju Mirza berada di Sri Lanka pada 27 Feb 2007 selepas Saseedharan mengemukakan salinan pasport tertuduh kepada Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Terdahulu, disoal sama ada Mohd Nasarudin tahu Mirza tidak berada dalam negara pada hari berkenaan, saksi itu berkata: "Saya tidak tahu sebab saya tidak siasat".

Kepada soalan lain, beliau bersetuju wang berjumlah RM888,000 itu bukan dikeluarkan pada 22 Feb 2007, sebaliknya pada 5 Mac tahun yang sama.

Mohd Nasarudin juga bersetuju Mirza tidak menandatangani borang kiriman wang pada 5 Mac 2007, yang menyaksikan RM888,000 dikeluarkan Pempena kepada LCL Interior bagi projek restoran di Dubai.

Mirza, 55, dan Mohammad Rosly, 58, didakwa melakukan pecah amanah meluluskan pembayaran RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Februari 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia di Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Feb 2007 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di depan Hakim Che Mohamad Zulkifly disambung Khamis ini. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain