suria

Polis Malaysia Lebih Baik – Bapa Ashraf

Ashraf.
Ashraf.
Ashraf.

PETALING JAYA: Bapa Ashraf Haziq Rossli (gambar) – pelajar yang diserang dan dirompak dalam rusuhan di London pada tahun lepas, telah memuji polis Malaysia, yang menyatakan pihak berkuasa itu bertindak lebih pantas daripada pihak berkuasa Britain sekiranya situasi yang sama berlaku di sini.

Rossli Harun, 50, yang dipetik dalam akhbar Britain, Daily Mail pada Sabtu lalu sebagai berkata, Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang agak tegas namun ia merupakan sebuah kerajaan yang tidak membiarkan perkara di luar kawalan berlaku bagi memastikan keselamatan di jalanan.

“Ia (Kerajaan Malaysia) tidak akan membiarkan keadaan luar kawalan berlaku.

“Jalanan (di sini) adalah selamat,” katanya yang merupakan pesara pegawai tentera.

Rossli berkata, pihak polis di Malaysia akan menangkap seseorang sekiranya dia melakukan sesuatu yang salah.

“Tetapi di Britain, ia seolah-olah tidak boleh. Polis anda (Britain) membiarkan ia terus berlaku sehingga ia berada di luar kawalan.

“Saya tidak faham kenapa orang dibenarkan untuk merusuh dan merompak dengan cara begitu.”

Ashraf yang berusia 21 tahun telah diserang dan dirompak pada Ogos tahun lalu ketika dia sedang berbasikal ke rumah rakan sehingga mengakibatkan rahangnya patah.

Kejadian tersebut telah dirakamkan oleh seorang saksi menggunakan telefon mudah alihnya dan kemudian menyebarkannya di Internet.

Mahkamah British pada 3 Mac mensabitkan John Kafunda, 22, and Reece Donovan, 24, bersalah atas tuduhan melakukan keganasan. Donovan juga disabitkan atas kesalahan mencuri dan Kafunda atas kesalahan merompak.

Seorang lagi yang berusia 17 tahun sebelum ini didapati bersalah kerana mengakibatkan kecederaan pada Mohd Ashraf apabila menumbuknya sehingga menyebabkan rahangnya patah.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap sekumpulan remaja yang menyerang anaknya, Rossli berkata, “Ia terpulang kepada ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka.

“Setiap anak perlu diajar sepanjang tumbesaran mereka mengenai tanggungkawab terhadap masyarakat dan berdisiplin.”

Kenyataan Rossli mendapat banyak reaksi daripada pembaca yang memberi komen di laman web Daily Mail.

Gary, berasal dari London, yang menetap di Kuala Lumpur lebih setahun memberi komen bahawa jalanan di Malaysia adalah lebih selamat berbanding di London.

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain