suria

Kerajaan Sedia Kabin Sebagai Pusat Kawalan SRS

KUANTAN: Kerajaan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menyediakan 90 kabin berfungsi sebagai pusat kawalan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk kemudahan peronda di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata, daripada jumlah itu, Pahang merupakan negeri penerima terbanyak iaitu 29 kabin yang bernilai RM75,000 setiap satu.

"Ini diikuti Kelantan, Kedah dan Johor. Kabin hasil sentuhan pihak Universiti Teknologi Mara itu boleh memuatkan 30 orang pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Kawalan Skim Rondaan Sukarela peringkat Pahang yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob di sini, malam Isnin.

Beliau berkata, sebanyak RM16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi menyediakan kemudahan pusat kawalan itu di seluruh negara.

Azman Amin berkata, kemudahan itu amat perlu bagi memastikan 130,000 peronda berdaftar daripada 2,998 SRS seluruh negara dapat menjalankan tanggungjawab membantu mengurangkan kadar jenayah negara.

"Saya perhatikan di kawasan-kawasan Rukun Tetangga yang buat SRS ini, kadar jenayahnya dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata, jabatan itu mensasarkan 500 SRS dapat dibuka setiap tahun dengan tahun lepas sahaja sebanyak 600 SRS telah didaftarkan.

Sehingga Januari lepas sebanyak 5,692 kawasan Rukun Tetangga diwujudkan di negara ini dengan hanya kira-kira 500 yang mempunyai bangunan sendiri manakala 2,988 daripada kawasan Rukun Tetangga itu telah menubuhkan SRS. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain