suria

Tujuh Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Terbakar Di Alor Setar

ALOR SETAR: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kampung satu tingkat yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Gunung, Gunung Keriang dekat sini kira-kira 11.20 pagi Isnin.

Mangsa Azizah Abdul Khadir, 55, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan cucunya Mohd Syafiq Ikwan yang berusia empat tahun manakala anak-anaknya bersiap untuk masak makanan tengah hari.

Katanya menantu lelakinya yang menyedari kebakaran dari bilik tidurnya, menjerit meminta semua yang berada dalam rumah lari menyelamatkan diri tanpa sempat menyelamatkan barang-barang penting.

Azizah, yang ketika itu panik cuba masuk ke dalam biliknya untuk menyelamatkan barang penting miliknya sejurus kejadian berlaku, namun gagal kerana api marak dengan cepat.

Seorang menantu perempuannya Norhayati Osman, 27, mengalami kecederaan di kaki akibat terkena api dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan.

Kejadian tersebut turut memusnahkan tiga buah motosikal milik anak-anaknya dan tiga buah motosikal milik jiran manakala sebuah kereta milik mangsa sempat diselamatkan oleh jiran.

Tinjauan Bernama mendapati semua mangsa berada dalam keadaan trauma dan menangis kerana terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Alor Setar Mohd Fauzi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.24 pagi dan sampai ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

Bomba dengan kekuatan 13 anggota dan empat jentera dapat mengawal kebakaran pada pukul 11.40 pagi dan memadam api sepenuhnya 10 minit kemudian.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain