suria

Petronas Tidak Teruskan Jualan Gas Bersubsidi Kepada TNB

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sekali lagi menegaskan bahawa ia tidak akan meneruskan penjualan gas bersubsidi kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi penjanaan elektrik tahun ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata tawaran itu sepatutnya merupakan tawaran "sekali sahaja" dan kerajaan tidak harus membayar bagi sebarang subsidi ke atas gas.

"Kami tidak pernah menyebut pada masa lalu yang ini merupakan sumbangan berterusan kepada TNB... Ia sepatutnya pemberian sekali sahaja, kerana kami kasihankan mereka sebab ketika itu mereka tidak cukup wang.

"Sebagai anggota Majlis Ekonomi, kami telah menawarkan diri untuk membantu mereka dan kerajaan juga telah menawarkan diri untuk memainkan peranannya," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan 2011 Petronas di sini, Isnin.

Pada masa ini, Petronas masih menunggu untuk mendapatkan maklum balas daripada Putrajaya mengenai tawarannya untuk membiayai sepertiga daripada kos membekalkan gas kepada TNB untuk membantu pengguna.

Shamsul Azhar berkata, bagi setiap RM3.00 subsidi, ia akan melibatkan kos sebanyak RM1.7 billion kepada kumpulan itu.

"Kami ada berbincang dengan tiga menteri tiga minggu lepas dan kami, pada asasnya, telah mencadangkan supaya diadakan satu kajian tentang formula itu, yang mengambil kira sensitiviti domestik.

"Jadi, sekarang terpulanglah kepada mereka untuk mengemukakannya kepada Majlis Ekonomi," katanya.

Pada masa ini Petronas memberikan subsidi sebanyak hingga RM20 bilion setahun kepada industri kuasa dalam bentuk gas asli pada kadar di bawah harga pasaran.

Syarikat itu berkata hari ini bahawa ia telah membayar subsidi bernilai RM108.5 bilion bagi TNB sejak 1997, termasuk RM3.9 bilion bagi tiga suku tahun berakhir 31 Dis, 2011. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain