suria

MASholidays Sasar 600 Jemaah Umrah

KUALA LUMPUR: MASholidays menyasar 600 jemaah menggunakan pakejnya, "Lambaian Kaabah Umrah & Ziarah" melalui 11 penerbangan sehingga Jun dan lima lagi semasa Ramadan.

Sasaran berkenaan berdasarkan kepada permintaan tinggi tahun lepas, demikian menurut cabang Malaysia Airlines itu dalam satu kenyataan, Isnin.

Baru-baru ini, syarikat membawa kumpulan pertamanya seramai 50 jemaah ke Madinah dengan penerbangan khas yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Produk Umrah MASholidays meliputi umrah dan ziarah yang termasuk tiket penerbangan, visa, pindahan lapangan terbang dan pengembaraan, penginapan, mutawwif dan makanan.

Dua pakej ditawarkan tahun ini iaitu 12 hari 10 malam dengan penerbangan terus ke Jeddah dengan harga bermula dari RM5,600 serta 14 hari 12 malam dengan penerbangan terus ke Madinah dari RM5,800.

"Kami telah menawarkan produk umrah sejak 1990 di bawah tawaran Lambaian Kaabah.

"Dengan rekod prestasi kami yang baik dalam menyediakan pakej yang komprehensif, boleh dipercayai dan selesa, pelanggan kami akan mendapat pengalaman umrah dan ziarah yang berkualiti tinggi," kata Pengurus Kanan MASholidays Fadhilah Mustaffa.

Semua perjalanan adalah dengan penerbangan khas Malaysia Airlines menggunakan pesawat B747-400 dan bagasi percuma 30 kilogram dengan 10 liter Air Zam Zam.

Kursus Umrah juga disediakan di Akademinya di Kelana Jaya, Selangor.

MASholidays mempunyai perkongsian muassasah dengan Al-Jaad Group yang berpangkalan di Arab Saudi.

Produk ini juga akan dipromosikan pada Pameran MATTA Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Mac dan di Kelantan mulai 26 hingga 28 April. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain