suria

Lelaki Maut Dirempuh Kereta Ketika Tukar Tayar Van

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dirempuh dan diseret sebuah kereta ketika menukar tayar vannya yang pancit di susur Kerinchi, Lebuhraya Persekutuan awal hari Ahad.

S. Rajendran, 50, mati di tempat kejadian selepas dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 25 meter oleh sebuah kereta Volkswagen Scirocco yang dipandu wanita berusia 26 tahun.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian pada pukul 6.15 pagi itu turut menyebabkan van yang dipandu lelaki itu hangus terbakar.

"Rajendran yang bekerja sebagai pemandu di sebuah hotel di Petaling Jaya, menghentikan van Toyoto Hiace yang dipandunya di lorong kiri jalan untuk menukar tayar selepas menyedari ia pancit.

"Ketika sedang menukar tayar, kereta itu melanggar bahagian belakang sebelah kanan van mangsa sebelum merempuh lelaki itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain