suria

KPDNKK Peruntuk RM200 Juta Biaya Kos Pengangkutan Skim Penyeragaman Harga

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperuntukkan RM200 juta untuk membiayai kos pengangkutan di bawah skim penyeragaman harga kepada peniaga dan pekedai runcit di kawasan pedalaman di seluruh negara tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata RM101 juta diperuntukkan bagi 485 kawasan di Sarawak dan RM90 juta untuk 460 kawasan di Sabah, manakala bakinya untuk negeri-negeri di Semenanjung.

"Peruntukan besar terpaksa dikeluarkan kerajaan di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan kedai dan peniaga menjalankan perniagaan di pedalaman seperti di pulau-pulau dan peniaga menanggung kos pengangkutan yang terlalu tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan mereka.

"Dengan adanya skim bantuan pengangkutan itu, harga barang-barang keperluan dapat dijual seperti harga di bandar atau pekan-pekan berhampiran dan pengguna juga tidak terbeban dengan harga barang yang mahal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 1,800 penduduk kawasan Parlimen Bera, Isnin.

Ismail berkata memberi contoh sebelum kerajaan mengadakan skim penyeragaman, harga tong gas di Bario (sebuah perkampungan di pedalaman Sabah) dijual dengan harga RM148 setong yang beratnya 14 kilogram, tetapi harga dijual RM27, iaitu sama dengan harga di bandar.

Ismail Sabri, yang juga Anggota Parlimen Bera, berkata skim penyeragaman harga itu akan diperluaskan ke seluruh negara dengan sasaran melibatkan 920 kawasan lagi sebelum akhir tahun ini.

Beliau meminta peniaga dan pekedai supaya mematuhi setiap arahan yang ditetapkan manakala mereka yang ingkar dan menjual barang dengan harga mahal akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga.

Katanya pegawai penguatkuasa KPDNKK akan sentiasa menjalankan pemeriksaan sertapemantuan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain