suria

Kesediaan PM Berbincang Serlah Sifat Pemimpin Berani

KUALA LUMPUR: Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang secara terbuka dengan sesiapa sahaja menunjukkan beliau seorang pemimpin berani dan telus.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan percaya langkah itu bukan bagi meraih populariti, sebaliknya atas kesedaran Najib bahawa ia untuk kebaikan negara secara menyeluruh.

"Mungkin beliau (Najib) boleh bercakap dengan kepimpinan mahasiswa, NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) ataupun wakil pihak swasta untuk mendapatkan input yang baik," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan tabung kebajikan dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kedua Persatuan Jurufoto Media (MPPA) malam Isnin.

Ahmad mengulas entri terbaru Perdana Menteri dalam www.1Malaysia.com.my yang mengumumkan kesediaan beliau untuk berbincang mengenai politik dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pemikiran munasabah dan serius tentang masa depan negara.

Pada majlis itu, keluarga jurukamera BernamaTV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menerima sumbangan RM5,000 daripada Nikon.

Nikon turut menyumbang RM2,000 kepada tabung kebajikan MPPA.

Sementara itu, mengulas kemelut kepimpinan PAS Kedah, Ahmad berkata beliau sudah menjangka perkara tersebut akan berlaku.

"Pembangkang memerintah Kedah dengan majoriti yang sedikit, hanya kira-kira 1,400 majoriti... dengan lain perkataan, mereka bukan menang mutlak.

"Ini bukan masalah kecil, krisis kepimpinan yang berlaku di Kedah jangan diremehkan. Mandat rakyat itu disia-siakan mereka," katanya yang menganggap ia peluang terbaik Barisan Nasional mendapatkan kembali undi rakyat.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memutuskan Datuk Seri Azizan Abdul Razak kekal sebagai Menteri Besar Kedah, walaupun masih buntu dengan kemelut pentadbiran negeri yang membabitkan dua exconya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain