suria

Kemelut Kedah: Phahrolrazi, Dr Ismail Umum Pendirian Petang Ini

PETALING JAYA: Dua pemimpin tertinggi PAS Kedah yang enggan menerima pelantikan semula sebagai exco, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh akan mengumumkan pendirian mereka berhubung keputusan PAS Pusat yang mahu mereka kembali menyandang jawatan berkenaan.

"Saya akan adakan sidang media untuk menyatakan pendirian saya berhubung keputusan PAS Pusat, pagi tadi (Isnin). Dr Ismail akan ada sekali," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun, Phahrolrazi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

PAS Pusat pada Isnin telah mencapai kata putus untuk mengekalkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah.

Selain itu, jawatankuasa tertinggi parti itu turut meminta Phahrolrazi dan Dr Ismail yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013, supaya kembali dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menegaskan bahawa kedua-duanya telah dimaklumkan secara lisan mengenai keputusan tersebut.

"Kedua-dua exco sudah tahu keputusan ini, dan itu yang kami putuskan," kata Mustafa.

Malah, Mustafa berkata, pihaknya optimis bahawa kedua-dua mereka akan kembali menerima tawaran pelantikan semula.

Kemelut kepimpinan PAS Kedah tercetus apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail meminta untuk tidak dilantik semula setelah mengaku mereka tidak sehaluan dengan Azizan dalam soal-soal pentadbiran negeri.

Selepas kedua-dua mereka menolak tawaran pelantikan semula, hanya lapan orang mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada Selasa lepas.

Mandat sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah akan berakhir Rabu ini (7 Mac).

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain