suria

Jangan Politikkan Aset Angkatan Tentera - Ahmad Zahid

MELAKA: Ahli politik khususnya daripada parti pembangkang diingatkan agar tidak lagi mempolitikkan aset angkatan tentera sehingga boleh memudaratkan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli politik perlu tahu membezakan soal pertahanan negara dengan politik yang mempunyai garis pemisah antara kedua-duanya.

Beliau berkata pembangkang sebelum ini menjadikan beberapa aset pertahanan negara sebagai modal politik yang akhirnya terbukti tidak berasas.

"Dulu apabila kapal terbang tidak ada enjin mereka menyindir saya, jelas bukan Menteri Pertahanan atau Panglima Angkatan Tentera Udara ataupun pegawai (yang terlibat) tetapi ia dicuri seorang sahaja dan kita telah melakukan pendakwaan.

"Apabila kapal selam didakwa tidak boleh menyelam, kita bawa dia (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng) menyelam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rasmi kapal selam SMD Ouessant Agosta daripada Kementerian Pertahanan kepada kerajaan negeri Melaka yang diwakili Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, Ahad.

Turut hadir Duta Perancis ke Malaysia Dorance Martine dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Kapal selam berkenaan yang merupakan platform latihan bawah permukaan air bagi krew-krew pelatih TLDM sebelum mengoperasikan kapal selam konvensional sebenar kelas Perdana Menteri kini diabadikan sebagai muzium di kompleks Muzium Maritim, Klebang di sini.

Ahmad Zahid berkata pembangkang sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada Kementerian Pertahanan berhubung sesuatu perkara agar ia dapat ditangani dengan baik.

"Dapatkan penjelasan dulu daripada kami (Kementerian Pertahanan), jangan jadikan ini (aset pertahanan) bahan ceramah yang boleh mengelirukan rakyat... saya fikir tidak satu negara pun yang mendedahkan apa saja aset negara atau strategi pertahanan negara, tetapi mereka (pembangkang) nak tahu semua sekali.

"Saya takut mereka menjadi ejen (pihak luar negara), kita tidak mahu jadi kurang pandai dalam menangani soal pertahanan," katanya.

Beliau berkata kesilapan sesuatu fakta bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat malah boleh mengguris perasaan anggota profesional dalam angkatan tentera yang tidak terlibat dalam soal politik. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain