suria

Isu Plagiarisme: Permohonan Ex-parte Bagi Sabitkan 13 Individu Hina Mahkamah

PUTRAJAYA: Satu permohonan ex-parte telah difailkan bagi mensabitkan bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF) Datuk See Teow Chuan dan 11 lagi serta peguam mereka Datuk V.K.Lingam dengan kesalahan menghina mahkamah selepas mereka mendakwa wujud plagiarisme dalam penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan.

Peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili penyelesai Kian Joo Holdings Sdn Bhd (KJH), memaklumkan perkara itu kepada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dijadual mendengar permohonan kumpulan Teow Chuan bagi mengkaji semula keputusan mahkamah berkenaan yang tidak memihak kepada mereka.

See dan 11 lagi merupakan penyumbang majoriti KJH, syarikat pegangan pelaburan keluarga yang diperintahkan Mahkamah Tinggi digulungkan pada 1996. Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck dilantik sebagai penyelesai KJH.

Abraham berkata memandangkan permohonan semakan kehakiman itu membabitkan isu yang mencemarkan mahkamah dengan skandal, beliau telah memberikan satu notis bertulis minggu lepas mempelawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mencelah dalam perkara itu.

"Walaupun beliau tidak hadir di mahkamah hari ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail membayangkan pada 2 Mac bahawa beliau ingin mencelah,"katanya.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel itu berkata dakwaan tersebut adalah sesuatu yang serius kerana ia menjejaskan integriti mahkamah.

"Kami menangguhkan perkara ini bagi membenarkan Peguam Negara mencelah," katanya yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah.

Mahkamah menetapkan 3 April untuk pendengaran dan Hakim Arifin berkata Peguam Negara akan dimaklumkan mengenai tarikh itu.

Sementara itu, Lingam berkata mereka juga didengar dalam permohonan itu, namun Abraham berkata beliau tidak mempunyai obligasi untuk menyerahkannya kepada Lingam dan anak guamnya kerana ia dibuat secara ex-parte.

Hakim Arifin berkata mahkamah juga akan mendengar hujah pihak berkaitan pada tarikh pendengaran seterusnya bagi memutuskan sama ada Lingam dan 12 lagi dibenarkan terlibat dalam permohonan itu.

Sebelas yang lain ialah See Teow Koon, See Teow Geok, Teo Guan Hur, Seow Luan Eng, Khor Get Kim, See Siew Tin, See Siew Khim, Liew Choon Lum, See Chin Lam, See Siok Hong dan See Siok Kim.

Pada 5 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penyelesai KJH boleh meneruskan penjualan 146.13 juta saham Kian Joo yang dimiliki KJH kepada Can-One Bhd pada harga RM241.12 juta.

Pada 2009, mereka memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selepas Can-One berjaya memperoleh tender membeli 32.9 peratus kepentingan dalam KJCF.

Mereka gagal menghentikan Can-One daripada membeli saham itu di Mahkamah Tinggi, namun Mahkamah Rayuan kemudian mengubah perintah tersebut sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada penyelesai.

Seow dan 13 lagi memfailkan satu notis usul menerusi Lingam memohon agar keputusan Mahkamah Persekutuan itu dikaji semula atas alasan wujud plagiarisme dalam penghakiman bertulisnya. Dalam notis itu, mereka mendakwa penghakiman Mahkamah Persekutuan setebal 47 muka surat merupakan penghasilan semula hujah responden.

Mereka mendakwa mahkamah itu tidak mengendalikan satu kajian semula yang bebas dan berkecuali terhadap bukti serta undang-undang, selain tidak membuat analisis atau penemuan sendiri. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain