suria

Firely Nafi Tamatkan Operasi Beri Laluan Kepada AirAsia

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan komuniti, Firefly, unit milik penuh Malaysia Airlines (MAS), menafikan desas-desus bahawa syarikat itu akan menamatkan operasi penerbangan bagi memberi lebih banyak laluan kepada AirAsia, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran saham antara syarikat penerbangan negara dan syarikat penerbangan tambang rendah itu.

"Kami kekal beroperasi dan akan berkembang. Kami tidak akan menghentikan penerbangan," kata Ketua Pegawai Operasi (jarak dekat) MAS, Ignatius Ong, pada taklimat media di sini, Isnin.

Beliau berkata Firefly bukannya syarikat penerbangan tambang rendah, dan oleh itu keputusan perniagaannya tidak ada kaitan dengan AirAsia.

"Apa yang kami lakukan ialah menamatkan operasi jet dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Selain itu, kami sentiasa mengenal pasti kemungkinan untuk berkembang," katanya.

Ong berkata Firefly akan memajak beberapa jet turbonya memandangkan ia merancang untuk mengambil alih jet turbo generasi baharu, yang hanya diperoleh dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

Beliau berkata Firefly sedang merasionalisasikan laluan dan kapasitinya, selari dengan pelan perniagaan MAS.

"Kami mungkin memperkenal laluan baharu dalam tempoh sebulan atau dua dan kami juga sedang menyesuaikan kekerapan penerbangan," katanya.

Sementara itu, Ong berkata Firefly menyasarkan peningkatan 20 peratus perolehan jualan dalam operasi turboprop pada Pameran MATTA Fair di Kuala Lumpur, berbanding RM1 juta yang diperoleh pada pemeran tahun lepas.

Beliau berkata Firefly akan membuat tawaran terbaik, nilai tambah dan menggabungkan aktiviti membeli-belah dalam sebahagian pakej perjalanan dan pengembaraannya pada pameran yang berlangsung dari 16 hingga 18 Mac, 2012 itu. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain