suria

Rakyat Perlu Terus Beri Mandat Kepada BN - Ahmad Maslan

PANGKOR: Rakyat perlu terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) berikutan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperbaiki kesilapan lampau perikatan itu bagi memacu kegemilangan negara, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata ia membuktikan keikhlasan BN terhadap rakyat kerana tidak mudah bagi mana-mana perdana menteri atau presiden di dunia mengakui kesilapan dan kelemahan yang berlaku dalam parti pada masa lalu.

"Beliau sanggup. Itu satu pengorbanan dan tunjukkan ketinggian peribadi dan wibawanya. Beliau sanggup meminta maaf bagi pihak pemimpin lain atas kesilapan yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana di Kampung Tengah di sini, Ahad.

Pada Sabtu, ketika di Kuala Ketil, Kedah, Najib mengakui kekalahan banyak kerusi BN dan beberapa pada pilihan raya umum 2008 adalah disebabkan kesilapan dan beliau memohon maaf kepada rakyat.

Beliau turut menerima penolakan pengundi terhadap BN atas kesilapan masa lalu itu dan akan membetulkannya.

Ahmad berkata walaupun perkhidmatan peneraju pentadbiran kerajaan itu tidak genap lagi tiga tahun namun dalam tempoh itu banyak perubahan dan pembaharuan yang dibawa demi kesejahteraan rakyat.

Katanya pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi fokus utama dalam pelbagai program transformasi dan pembaharuan yang dibawa Najib.

Beliau turut mengakui terdapat segelintir pemimpin BN yang gagal berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Bagaimanapun, jumlah terlalu sedikit.

Sementara itu ketika di BAGAN DATOH, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata BN kini giat memberi penjelasan di peringkat bahagian berhubung isu semasa, inisiatif kerajaan membantu rakyat serta menyangkal pelbagai dakwaan pembangkang.

"Kita akan teruskan seberapa banyak ceramah perdana di peringkat bahagian sebelum pilihan raya umum akan datang di peringkat bahagian. Ini cara yang lebih berkesan," katanya ketika memberi ceramah perdana Parlimen Bagan Datoh. - BERNAMA

Artikel Lain