suria

Polis Buka Kertas Siasatan Mengenai Dakwaan Remaja Dipukul Dalam Tahanan

SEREMBAN: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung seorang remaja yang mendakwa dipukul seorang anggota polis semasa ditahan reman antara 27 Feb hingga Jumaat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata remaja berusia 13 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam, dan polis telah mengambil keterangannya untuk siasatan lanjut.

"Mangsa mendakwa dipukul oleh anggota polis berbadan gemuk semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Jempol, dan laporan polis telah dibuat bersama ayahnya pada Jumaat.

"Rakaman percakapan mangsa menyatakan dia telah dipukul anggota polis terbabit menggunakan paip getah di bahagian kepala hingga mencederakan matanya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini Sabtu.

Beliau berkata remaja terbabit ditahan di rumahnya di Ladang St Helier, Bahau pada 26 Feb dan direman lima hari bermula 27 Feb hingga 2 Mac bagi membantu siasatan berhubung kes curi.

Osman berkata pada 29 Feb remaja itu mengadu sakit di bahagian mata dan dihantar ke Hospital Bandar Sri Jempol dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Percakapan doktor yang merawat remaja itu juga telah diambil. Menurut doktor, remaja itu tidak memaklumkan mengenai matanya yang mengalami kecederaan dan doktor berpendapat kecederaan di bahagian mata itu disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan lain yang tidak dikenalpasti remaja itu.

"Tiada imbasan pada mata remaja itu dibuat kerana doktor berpendapat ia tidak diperlukan pada waktu itu dan doktor mendapati tiada pendarahan dikesan pada bahagian anggota lain badan remaja itu," katanya.

Osman berkata remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat, dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata siasatan awal oleh pegawai penyiasat polis mendapati tiada kecederaan di badan remaja itu selain bengkak di mata dan dia dihantar ke hospital untuk kali kedua.

Polis masih menunggu laporan perubatan bagi kali kedua, dan percakapan doktor yang merawat akan dirakam dalam masa terdekat, katanya.

Osman berkata siasatan masih berjalan dan polis meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kes itu yang kini tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter.

"Jika dakwaan mangsa benar, anggota yang terbabit akan didakwa, jadi kita minta semua pihak bagi peluang pada polis dan jangan buat persepsi yang negatif kerana boleh menjejaskan siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain