suria

MPM Cadang Kerajaan Wajibkan Warganegara Daftar Sebagai Pengundi

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) mencadangkan kerajaan supaya mewajibkan setiap warganegara yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi selepas mencapai umur 21 tahun.

Anggota Jawatankuasa Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Presiden Gagasan Melayu Perak Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail berkata pendedahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sejumlah 3.7 juta orang belum mendaftar sebagai pengundi baru-baru ini amat memeranjatkan dan kerajaan perlu bertindak mengatasi masalah itu.

"Ia adalah sesuatu yang merugikan negara kerana sebahagian daripada jumlah yang tidak mendaftar itu adalah dari golongan muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di luar Persidangan Tahunan ke-3 MPM di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, Ahad.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, bekas ketua pengarah Jabatan Penjara Malaysia dan Presiden Majlis Aids Malaysia Tan Sri Mohd Zaman Khan dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Zainal Abidin Sakom.

Mohd Hilmi berkata jumlah yang tidak mendaftar sebagai pengundi itu juga akan terlepas peluang melaksanakan hak sebagai seorang rakyat Malaysia dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Mengenai persidangan MPM, beliau berkata anggota MPM mengadakan sesi dialog dengan NGO bagi membincangkan isu-isu semasa, antaranya membabitkan isu agama, bangsa, Institusi Raja-Raja dan hak orang Melayu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan harus bertindak tegas terhadap pelbagai tuntutan melampau oleh beberapa pihak yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan beragama dan hak individu seperti mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana ia boleh menjejaskan keamanan negara pada masa depan. - BERNAMA

Artikel Lain