suria

Mohon Maaf Tunjuk Sikap Rendah Diri - TPM

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf bagi pihak Barisan Nasional (BN) atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri pada pilihan raya umum 2008, menunjukkan sikap merendah diri parti itu, kata timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata apa yang penting pada masa ini adalah untuk melihat ke hadapan terutama dalam tempoh lapan tahun akan datang, tentang bagaimana mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

"Apa yang Perdana Menteri nyatakan itu tunjukkan sikap merendah diri. Kita sebagai manusia memang ada kelemahan, kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional juga kita tahu ada kelemahan kita dan mungkin beberapa kesilapan.

"Secara umumnya dalam tempoh 54 tahun tidak ada sesiapa boleh menolak hakikat bahawa walaupun ada kelemahan, kita sudah berjaya capai kemajuan besar dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, hubungan antarabangsa dan pelbagai lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Semalam, Najib memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) 2008, tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Muhyiddin berkata beliau percaya rakyat sudah mula faham dengan langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi serta konsep gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperbaiki kelemahan serta menambah baik segala usaha yang dilakukan selama ini.

"Macam transformasi nasional, ia mencakupi semua perkara... ekonomi, kerajaan, politik, luar bandar dan pendekatan baru yang diambil perdana menteri dan kerajaan BN pada hari ini.

Semuanya masyarakat sudah dapat lihat impak yang agak begitu berkesan dan ini beri satu harapan baru," katanya.

Beliau berkata kefahaman dan penerimaan rakyat tentang semua perkara tersebut memperlihatkan keyakinan baru di kalangan mereka tentang keupayaan kerajaan BN.

Katanya kekalahan pada PRU-12 telah memberi keinsafan kepada BN tentang apa yang perlu dilakukan dan diperbaiki, termasuk oleh wakil-wakil parti di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain