suria

Malaysia Kini Galas Penampilan Sebagai Negara Maju - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia kini menggalas penampilan sebagai sebuah negara dan wawasan pembangunannya dilaksanakan dengan jelas secara berperingkat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun wawasan Malaysia mungkin tidak sesuai untuk semua negara, terdapat beberapa elemen yang boleh diguna pakai oleh semua yang berhasrat menjadi negara maju.

"Saya percaya salah satu punca pemberontakan di negara Arab ialah kegagalan kerajaan menjaga keperluan rakyat," katanya dalam ucapan beliau bertajuk "Vision in the Development of a Nation" di Forum Ketiga Kumpulan Pemikir Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Baku, Azerbaijan, Sabtu.

Dr Mahathir berkata keperluan paling utama di sesebuah negara ialah pekerjaan untuk memperoleh pendapatan stabil bagi menyara kehidupan yang baik, dan pertanian tidak mampu mewujudkan peluang mencukupi berbanding industri.

"Sehektar tanah pertanian mungkin boleh menyara seorang individu, namun ia boleh menampung 500 pekerja kilang.

"Itulah sebabnya Malaysia memilih industri intensif buruh memandangkan tanah tidak lagi mencukupi untuk bercucuk tanam," katanya.

Dr Mahathir berkata sesebuah negara tidak dianggap maju hanya disebabkan pendapatan per kapitanya tinggi, dan kerana itu, kebanyakan negara pengeluar minyak tidak dianggap sebagai negara maju.

Beliau berkata sebuah negara maju mesti mempunyai infrastruktur yang baik, tenaga kerja terlatih serta berpendidikan, golongan kelas pertengahan yang besar selain keupayaan dalam bidang industri dan teknologi.

Katanya, kualiti kerja juga mesti sentiasa diperbaiki dan disasar mencapai standard dunia, sesuai dengan kedudukan sebagai sebuah negara maju.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata bagi sebuah negara miskin, proses pembangunan akan memakan masa dan wawasannya mesti dalam keupayaan negara itu pada sebarang tempoh tertentu.

Dr Mahathir berkata peranan pemimpin adalah penting dalam menjayakan sesuatu wawasan kerana tanpa kesungguhan beliau, negara yang berkemampuan serta berpotensi sekalipun, tidak akan berkembang.

Beliau juga berkata memiliki wawasan untuk pembangunan adalah penting, namun ia perlu seiring dengan pengetahuan bagaimana ia perlu dilaksanakan dalam usaha memajukan negara.

Merujuk China sebagai contoh, katanya, pengganti Mao Tse Tung, Deng Xiao Peng, walaupun seorang komunis namun pragmatik, dan ingin melihat China maju, dan hasilnya, ia kini menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia berbanding 20 tahun lepas, sebuah negara dunia ketiga.

"Jelas sekali, pemimpin mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Keputusan beliau tentang bagaimana negara itu harus dibangunkan amat kritikal.

"Beliau perlu mempunyai kesungguhan untuk berbuat demikian dan perlu mengarahkan sendiri pelaksanaan wawasannya.

"Beliau juga mesti memiliki pengetahuan selayaknya dalam pentadbiran, dasar yang perlu diikuti, kewangan dan perdagangan, selain tahu tentang proses pembangunan yang diputuskannya," katanya.

Dr Mahathir juga berkata pemimpin perlu turun padang untuk memantau kerja yang dilakukan bagi mengatasi sebarang halangan atau kekangan, selain memastikan sesuatu projek dilaksanakan dengan betul kerana lawatan ketua kerajaan di tapak pembinaan akan memberi motivasi kepada kumpulan pelaksana di semua peringkat.

"Menterinya juga mesti bersiap sedia untuk melakukan perkara sama. Mereka perlu melawat dan mendengar taklimat mengenai perkembangan dalam projek yang dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain