suria

Kerajaan Belum Muktamad Sistem Kesihatan - Liow

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan belum memutuskan sebarang bentuk sistem penjagaan kesihatan kerana ia masih menilai pelbagai model termasuk mengkaji kemungkinan mengguna pakai sistem ICare for 1Malaysia.

"Sebenarnya kita belum membuat sebarang keputusan dan kerajaan tidak akan membuatnya secara tergesa-gesa," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Beliau berkata kerajaan masih melihat dan mengkaji pelbagai model termasuk model insurans kesihatan, model insurans kesihatan sosial, model percukaian dan lain-lain model hibrid termasuk menerusi penyertaan kerajaan-majikan-pekerja.

"Terdapat banyak model yang sedang dikaji, tetapi belum mencapai kata putus. Sebab itu kita turut melibatkan pihak yang berkepentingan untuk memberi pandangan mereka.

"Adalah tidak benar ia telah diputuskan. Kerajaan akan terus melibatkan orang awam dan pihak yang berkaitan mengenai sebelum membuat keputusan," katanya.

Liow menjelaskan bahawa cadangan terhadap sistem 1Care for 1Malaysia merupakan model hibrid yang sedang dikaji dan belum terdapat keputusan penerimaannya.

"Sekiranya didapati tidak sesuai, ia tidak akan dilaksanakan. Oleh sebab itu kita telah membentuk kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dan memanggil pelbagai pihak untuk memastikan kesesuaian model berkenaan. Sesungguhnya ia masih di peringkat permulaan," katanya.

Namun, kata beliau sesetengah pihak telah menyalah lapor dan maklumat yang salah telah disebarkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Antara maklumat salah tersebut ialah keperluan rakyat membayar sehingga 9.5 peratus dari pendapatan bulanan mereka sebagai sumbangan insurans kesihatan sosial; pesakit hanya boleh berjumpa doktor sebanyak enam kali setahun; pesakit tidak mempunyai pilihan untuk bertemu doktor yang dikehendaki mereka; setiap orang mesti membayar; pihak berkuasa pembiayaan kesihatan (NHFA) akan menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sakit kronik tidak akan dibiayai termasuk penjagaan kesihatan yang mahal.

Liow menjelaskan pembayaran 9.5 peratus tersebut hanya merupakan anggaran tentang jumlah purata isi rumah yang memerlukan penjagaan kesihatan mereka.

"Ia bukan jumlah yang akan dipotong daripada pendapatan individu. Sekiranya model ini diterima, sebarang caruman akan dikongsi oleh kerajaan, majikan dan pekerja untuk membiayai perbelanjaan kesihatan seluruh keluarga," katanya dan menegaskan angka tersebut belum dimuktamad kerana analisis yang lebih berhati-hati perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau juga berkata cadangan juga tidak menyebut had seseorang pesakit boleh menemui doktor, di mana had enam rawatan dalam setahun hanya berdasarkan anggaran penggunaan purata penjagaan kesihatan seseorang rakyat Malaysia, di bawah kajian lalu.

Beliau menjelaskan sekiranya model tersebut diterima, NHFA tidak akan menjadi GLC kerana ia akan menjadi badan berkanun yang bertanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan.

"Ia tidak akan diswastakan. Usaha akan dibuat bagi memastikan ketelusan pentadbiran badan autonomi ini melalui perundangan, termasuk wakil pihak berkaitan dan kaedah lain," katanya.

Liow turut menjelaskan sebab kerajaan perlu melihat kepada model baru sedangkan sistem sekarang telah dianggap sempurna untuk negara ini.

"Sementara penduduk mendapat manfaat dari sistem penjagaan kesihatan sekarang, timbul isu mengenai ketidakcekapan dalam menyasarkan pembiayaan kerajaan. Kerajaan membiayai manfaat perkhidmatan penjagaan kesihatan termasuk kepada mereka yang mampu membayarya, ini menimbulkan kebocoran subsidi awam," katanya.

Beliau berkata pemisahan pembekal penjagaan kesihatan awam dan swasta mempunyai kesan kepada kualiti penjagaan kesihatan oleh dua sektor tersebut dari segi infrasruktur, kemudahan peralatan dan kualiti penjagaan kesihatan selain jurang agihan penjagaan kesihatan.

"Kemudahan swasta kebanyakannya terdapat di bandar dan perkhidmatan pakar hanya terdapat di bandar besar. Penduduk luar bandar tidak menerima perkhidmatan yang setanding dan ini menyumbang kepada perbezaan penggunaan penjagaan kesihatan di dua kawasan berkenaan," katanya.

Liow berkata kerajaan tidak mahu melihat keadaan di mana rakyat diketepikan hak penjagaan kesihatan yang berkualiti kerana mereka tidak mampu membayarynya, selain tidak mahu rakyat menjadi miskin kerana perlu membayar harga yang mahal untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

"Ini antara sebabnya mengapa kita perlu mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan kita," katanya.

Artikel Lain