suria

Segalanya Berjalan Lancar Menjelang Perhimpunan Agung SPDP

MIRI: Perhimpunan agung tiga tahun sekali Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang akan diadakan di Bintulu bulan ini dijangka berlangsung dengan lancar.

Timbalan Setiausaha Agung parti, Paul Igai berkata daripada maklum balas yang diterima mengenai mesyuarat di peringkat bahagian, setakat ini belum ada bahagian yang mengalami masalah.

"Kali ini agak menghairankan kerana segalanya berjalan dengan baik termasuk penyediaan minit mesyuarat yang nampaknya lebih cekap daripada sebelum ini," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Bulan lepas, parti itu dilaporkan akan memantau mana-mana bahagian yang berkemungkinan bermasalah dan menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk mengetahui sama ada berlaku sebarang masalah di bahagian.

Spekulasi hangat tersebar mengenai kemungkinan timbul masalah di lima kawasan pilihan raya di mana wakil rakyat daripada anggota SPDP yang dipilih di kawasan berkenaan dipecat daripada parti itu kerana bertindak ingkar.

Lima wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Sylvester Entri (Marudi), Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru) Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Anggota Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

Mereka telah menubuhkan Kelab Barisan Nasional untuk meneruskan kerjaya politik mereka.

Mengenai agenda bagi perhimpunan agung berkenaan, Paul berkata ia antara lain akan memberi tumpuan ke arah mengukuhkan perpaduan dalam parti.

"Kami meneruskan usaha secara positif dengan melupakan segala peristiwa sedih yang telah berlaku itu," katanya.

Selain SPDP parti-parti lain dalam komponen BN Sarawak ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). - BERNAMA

Artikel Lain