suria

Pembangkang Tiada Kemampuan Tadbir Negeri, Negara - Nazri Aziz

KUALA KANGSAR: Konflik yang melanda kepimpinan PAS Kedah menunjukkan parti pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk mentadbir negeri, apatah lagi sebuah negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata masalah dalaman yang melanda kepimpinan PAS selaku kerajaan yang mentabir Kedah, boleh menjejaskan pelbagai program pembangunan untuk rakyat negeri itu.

"Ini hal dalaman mereka, tapi sebagai sebuah kerajaan, ini akan menjejaskan rakyat. Ini menunjukkan waktu tidak tadbir kerajaan, senang bercakap, tapi hari ini, tengok sendiri, mereka tidak berkemampuan untuk tadbir negeri, apatah lagi negara.

"Masalah peribadi dua pemimpin ini juga menjadi masalah rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Kasih Zon Beluru di Sekoah Kebangsaan Beluru, Sabtu.

Beliau mengulas kemelut yang melanda Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan kumpulan Datuk Phahrolrazi Zawawi, yang belum selesai meskipun selepas mengadakan mesyuarat khas selama empat jam, baru-baru ini.

Justeru, Mohamed Nazri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, meminta rakyat memikirkan semula kedudukan pembangkang di peringkat negeri kerana mereka selaku pentadbir, banyak mendatangkan masalah.

"Kita tidak mahu kerajaan mendatangkan masalah kepada rakyat, kita mahukan kerajaan selesaikan masalah rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain