suria

Muhyiddin Sifatkan PAS Seperti Cacing Kepanasan

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan PAS kini tidak ubah seperti cacing kepanasan apabila berhadapan dengan pendedahan demi pendedahan rahsia parti itu oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan parti pembangkang berkenaan sanggup memfitnah Umno serta menjadikan Umno dan Barisan Nasional sebagai kambing hitam dengan menuduh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan dana RM30 juta membiayai siri ceramah Hasan di seluruh negara.

"Saya dah dengar kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. PAS biasalah... apabila berhadapan dengan masalah, mereka akan tuduh Umno. Ini bukan suatu perkara baru.

"Sekarang dia berhadapan dengan masalah dengan Hasan Ali yang menjelajah di seluruh negara menceritakan perkhabaran yang beliau tahu dalam PAS.

"Jadi PAS dah menggelatak. Menggelatak itu seperti cacing kepanasan. Jadi bila dah jadi begitu, dia tengok tidak ada orang lain boleh dipersalahkan melainkan Umno. Jadi yang kena Umno, menteri Umno, dan kena tuduh Umno," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Dewan Undangan Negeri Jorak di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, Sabtu.

Muhyiddin mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kononnya KBS menyalurkan dana RM30 juta bagi membiayai program kendalian Hasan yang sedang rancak berjalan rancak di seluruh negara pada masa kini.

Katanya dakwaan itu merupakan satu fitnah dan sebagai orang Islam, Muhyiddin menasihati PAS agar tidak membuat dosa kering dengan membuat tuduhan seperti itu.

"Kalau tahu Hasan Ali buat begitu tentu ada keupayaan dan semangat yang kuat untuk beliau sebarkan apa yang berlaku dalam PAS, jadi PAS kena hadapinya.

"Kenapa nak tuduh Umno itu sedangkan itu masalah mereka? PAS harus tanggung sendiri masalah mereka, jangan lempar tuduhan kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata PAS tidak melihat kelemahan sendiri serta kepincangan yang berlaku menyebabkan parti itu apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian akan menuding jari menyalahkan pihak lain.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz berikutan dakwaan itu, Muhyiddin berkata ia terserah kepada menteri berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Lain