suria

Lelaki Buta Disamun Kumpulan Guna Taktik BR1M

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang cacat penglihatan disamun sekumpulan penjenayah yang menggunakan modus operandi kononnya ingin memberi wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Taman Bukit Jambul, Khamis lalu.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian itu, mangsa, seorang aktivis masyarakat berusia 42 tahun, didatangi seorang wanita, yang mendakwa ingin memberikan BR1M, ketika berada di rumah bersama ibunya.

"Namun mangsa menolak tawaran wanita tersebut lalu menyebabkan wanita itu keluar daripada rumah mangsa dan memanggil enam rakan lelakinya. Kumpulan itu, yang bersenjatakan parang, terus menyerbu masuk dan mengikat mangsa serta ibunya sebelum menggeledah rumah mangsa," katanya sambil menambah suspek melarikan wang tunai kira-kira RM1,200 serta barang kemas dari rumah mangsa.

Mangsa dan ibunya, yang tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudian membuat laporan di Balai polis Sungai Nibong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi Balai Polis Sungai Nibong di talian 04-6430222. - BERNAMA

Artikel Lain