suria

Krisis Kedah: Apa Juga Pertimbangan Azizan Amat Berat

KONFLIK yang melanda kerajaan PAS Kedah pimpinan menteri besar paling kontroversi buat masa ini - Datuk Seri Azizan Abdul Razak sampai ke kemuncaknya apabila beliau gagal memastikan kesemua sepuluh anggota exconya mengangkat sumpah jawatan pada Selasa lalu.

Sejak menerajui kerajaan negeri selepas pilihan raya umum yang lalu, Azizan lebih banyak menerima tekanan politik dalaman yang dicetuskan oleh ahli-ahli dan pemimpin PAS sendiri.

Terbaru, Azizan terus menerima tamparan apabila exco kanan, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan penyandang exco, Datuk Dr Ismail Salleh menghantar surat untuk menolak cadangan pelantikan semula ke jawatan masing-masing sebagai tanda protes terhadap kepimpinannya.

Perkembangan seperti ini bukan sahaja aneh malah tidak pernah kedengaran atau berlaku di dalam pentadbiran PAS pada masa lalu.

Dari satu sudut, ini tidak pernah berlaku kerana PAS jarang berpeluang berkuasa. Jadi apabila sekali sekala berkuasa, 'ribut dalam cangkir' ataupun perbalahan adik-beradik yang sering digunapakai bagi menggambarkan masalah yang wujud dalam sesebuah parti politik melimpah menjadi ribut taufan.

Ribut ini kelihatan sukar mereda. Ini kerana campur tangan kepimpinan PAS Pusat masih belum menampakkan sebarang tanda-tanda berhasil.

Gambaran awal bahawa isu ini hanya pertikaikan biasa yang hanya memerlukan sedikit 'sentuhan magis' kepimpinan PAS Pusat ternyata meleset apabila mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung hampir empat jam pada malam Khamis gagal mencapai sebarang kata putus.

Bukan itu sahaja, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang diutuskan sebagai 'duta khas' ke Kedah pada Selasa lalu bagi menemui Azizan dan Phahrolrazi untuk membantu menyelesaikan konflik antara dua pihak berkenaan gagal menyelesaikan masalah.

Berdasarkan rekod, Salahuddin merupakan pemimpin pusat ketiga bertindak sebagai ejen damai bagi memulihkan kemelut di Kedah selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri gagal menyelesaikan kemelut itu.

Tidak cukup dengan itu, malam ini (Sabtu) seluruh kepimpinan PAS Pusat akan berkampung di Alor Setar dalam pertemuan 'mahabbah' atau kasih sayang dengan kepimpinan peringkat negeri bagi mencari titik penyelesaian.

Kepimpinan pusat terpaksa mencari ayat yang sesuai iaitu 'mahabbah' dalam usaha meredakan keadaan.

Sememangnya kepimpinan PAS Pusat ternyata tidak senang dan memandang serius perkembangan di Kedah yang dilihat semakin tidak berkesudahan kerana ia akan meninggalkan impak yang besar kepada persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan beberapa bulan sahaja lagi dari sekarang.

Malah sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat juga semakin tidak senang duduk kerana konflik dalaman yang wujud akan merugikan pakatan pembangkang.

Barangkali semua pihak khususnya ahli dan penyokong PAS berharap rombongan besar kepimpinan PAS Pusat ke Alor Setar bakal menamatkan kemarau yang melanda PAS Kedah.

Lebih-lebih lagi Azizan hanya mempunyai jangka hayat sehingga Rabu depan bagi memuktamadkan isu pelantikan dua lagi exconya yang masih kosong. Selepas itu jawatan berkenaan perlu diisi oleh calon lain.

Bagaimanapun difahamkan kepimpinan PAS Pusat tidak akan membuat apa-apa keputusan muktamad malam ini.

"Dalam pertemuan itu nanti kita hanya nak dapatkan maklumat sebanyak mungkin bagi mengetahui kedudukan sebenar yang berlaku di Kedah.

"PAS Pusat tidak akan membuat sebarang resolusi atau keputusan malam ini," kata sumber berkenaan kepada mStar Online.

Cakap-cakap ahli dan pemimpin PAS peringkat bawahan di Kedah sendiri berpendapat bahawa konflik berkenaan kemungkinan boleh diselesaikan menggunakan dua kaedah dalam usaha menjaga imej parti itu.

Pertamanya PAS Pusat boleh menggunakan kuasa veto dengan mengarahkan Phahrolrazi dan Ismail untuk menerima lantikan exco dan meneruskan tugas masing-masing sehingga pilihan raya akan datang.

Langkah berkenaan dilihat boleh menutup kelemahan yang wujud namun ia mungkin bersifat sementara kerana berkemungkinan bakal menimbulkan permasalahan lain dalam urusan harian pentadbiran kerajaan negeri.

Ataupun Azizan boleh melantik dua muka baru dalam kabinetnya nanti dan terus memimpin negeri sehingga dewan dibubarkan.

Pertimbangan yang perlu dilakukan Azizan ialah bukan sahaja tentang survival dirinya sendiri dalam kepimpinan PAS negeri tetapi juga survival partinya sebagai sebuah kerajaan negeri.

Artikel Lain