suria

Kereta Penyeludup Minyak Terbakar

PASIR MAS: Sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk menyeludup petrol ke negara jiran, terbakar dalam kejadian di Kampung Kerdap di Rantau Panjang dekat sini, Sabtu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Ghani Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 10.40 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota dan sebuah jentera.

"Ketika pihak kami tiba di tempat kejadian tersebut mendapati kereta berkenaan telahpun musnah, bagaimana pun pemilik kenderaan itu sempat melarikan diri.

"Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika penyeludup sedang memindahkan petrol dari stor sementara di kampung itu untuk diangkut ke Selatan Thailand," katanya ketika dihubungi, Sabtu.

Ghani berkata petrol itu diisi dalam tong plastik yang menyebabkannya mudah terbakar.

Sementara itu, di BACHOK, seorang remaja lelaki berusia 21 tahun, nyaris rentung selepas kereta yang dipandunya, terbakar dalam kemalangan di Jalan Tok Bali-Melawi, di Kampung Teko Air Merah, Kandis, di sini Sabtu.

Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ali berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, Nublih Amadi Nazran yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai cuba memotong tiga kenderaan, namun gagal sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Pesona dari arah bertentangan.

Remaja itu bernasib baik apabila berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum kereta berkenaan terbakar, katanya.

"Dua mangsa yang berada di dalam kereta jenis Proton Pesona pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh oleh penduduk kampung untuk menerima rawatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain