suria

Kanak-Kanak Maut Ditimpa Pintu Pagar Besi Di Besut

BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut setelah ditimpa pintu pagar besi rumah datuknya di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut di sini Jumaat.

Mohd Aqif Najwan Majuki, dikatakan memanjat dan menyorong pintu pagar itu selepas pulang dari kilang keropok bersama datuknya kira-kira pukul 10 pagi.

"Dia bermain seorang diri dan kejadian itu disedari oleh abang dan kakaknya, Mohd Nizaruddin Ikmal, 11, dan Nurul Aina Natasha, 10, yang ketika itu bermain badminton tidak jauh dari situ," kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak itu memanjat dan menyorong pintu pagar besi rumah datuknya yang tidak kukuh dengan kuat menyebabkan penyendal pintu besi itu terkeluar dari tempat pemegangnya sebelum jatuh menimpa kanak-kanak tu.

Anak bongsu dari empat beradik yang tinggal di Pengkalan Nyireh, di Kampung Limbongan dekat Kampung Raja itu mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut.

"Hasil siasatan Hospital Daerah Besut mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dan pendarahan dalam kepala," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Besut pukul 9.30 malam Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain