suria

Isu NFC: Jangan Ganggu Kerja Peguam Negara, Siasatan Polis

KUALA KANGSAR: Pengurusan National Feedlot Corporation (NFC) perlu membiarkan Jabatan Peguam Negara dan polis menjalankan siasatan serta tidak membuat kenyataan kepada media yang boleh mengganggu tugas kedua-dua pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Pihak pengurusan perlu berdiam diri dan tidak mengganggu siasatan polis atau keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara, biarkan mereka.

"Kita tidak patut mengganggu proses itu. Apa sahaja yang mahu dikatakan, cakap dalam mahkamah jika ada pendakwaan, jika tidak, jangan cakap. Mungkin tidak akan didakwa, kita tidak tahu," katanya ketika diminta mengulas kenyataan NFC bahawa cadangan polis supaya pengerusinya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail didakwa atas pertuduhan pecah amanah adalah terlalu awal kerana siasatan masih dijalankan.

Mengenai kertas siasatan NFC yang dikembalikan kepada polis, Mohamed Nazri berkata adalah menjadi hak Peguam Negara untuk berbuat demikian jika ada perincian yang dikehendaki jabatan itu.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan sengaja melambat-lambatkan proses pendakwaan.

"Saya boleh beri jaminan sebagai menteri yang menjaga undang-undang, saya tahu cara Peguam Negara, dan jabatan itu menjalankan kerja-kerja mereka. Ini tidak ada kaitan dengan lambat atau melambatkan kerana kita tahu berapa lambat sekalipun, pendakwaan atau keputusan berhubung pendakwaan akan tetap berlaku," katanya.

Isu NFC mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya, dan menjadi semakin panas apabila pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan itu, yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. - BERNAMA

Artikel Lain