suria

Hasan Ali Nafi Terima Dana KBS

KUALA LUMPUR: Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali Hasan menafikan dakwaan PAS bahawa beliau menerima peruntukan dana sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakan program latihan khusus untuk golongan belia di negara ini.

"Tuduhan ini berniat jahat, berunsur fitnah dan satu percubaan untuk memburukkan imej saya di mata rakyat serta mencemar kredibiliti saya sebagai ahli politik dan peneraju badan NGO, Jati," katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara, Sabtu.

Pada Khamis, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat pusat parti itu mendakwa KBS merupakan antara penyumbang utama dana kepada Hasan dalam melaksanakan program latihan khusus untuk belia, selain menggerakkan sesi jelajah ceramah Hasan Ali ke seluruh negara.

Hasan menyelar Mahfuz dan menyifatkannya sebagai 'parasit' dalam parti pembangkang itu.

Katanya, tuduhan Mahfuz adalah kerana khuatir dengan program jelajah beliau yang berjaya mengumpulkan kehadiran ribuan khalayak selain cubaan untuk mengalih pandangan umum terhadap kemelut yang melanda PAS Kedah.

Selain Mahfuz, Hasan menyelar Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang sebelum ini menuduh beliau menerima wang daripada Syabas atau Puncak Niaga. Beliau berkata setiap ceramah dan aktivitinya menggunakan wang sendiri dan sumbangan orang awam.

"Saya telahpun menyerahkan perkara ini kepada barisan peguam saya untuk mengambil tindakan munasabah," katanya.

Pada sidang akhbar itu, Hasan turut meramal PAS bakal kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 berdasarkan beberapa isu yang hingga kini tidak mampu ditangani pimpinan parti itu, termasuk sokongan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keselamatan Israel selain isu memurtadkan umat Islam.

Beliau juga berkata pemecatannya akan turut menyumbang kepada prestasi buruk PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Hasan turut mendakwa siri jelajah ke seluruh negara yang beliau anjurkan bar-baru ini mendapat sambutan di luar dugaan. - BERNAMA

Artikel Lain