suria

Felda Terengganu Cadang Wujudkan Tanaman Pisang Untuk Eksport

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Terengganu bercadang mewujudkan projek penanaman pisang secara komersial di kawasan tanah rancangannya di negeri ini dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi peneroka selain menambah pendapatan Felda.

Pengurus Besar Wilayah Abd Malib Abd Rani berkata bagi menjayakan usaha itu, sebanyak 400 hektar tanah dari tiga rancangan penempatan Felda akan terlibat bagi penanaman pisang untuk tujuan eksport.

"Buat permulaan, kita sasarkan lebih 100 hektar tanah di setiap tiga rancangan Felda ini akan ditanam dengan pisang kerana kita mahu mendokong transformasi kerajaan dalam program 'Gedung Makanan Negara' dilaksanakan di tanah rancangan Felda.

"Projek ini kini di peringkat permulaan dan kita telahpun mengenalpasti kawasan dan kaedah penanaman yang sesuai bagi menjana hasil lumayan dan konsisten," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata tiga penempatan rancangan Felda yang terlibat ialah Felda Tenang di Jertih Besut, Felda Chalok dan Felda Chalok Barat di Setiu.

Abd Malib berkata dua jenis pisang yang akan ditanam untuk projek itu ialah berangan dan cavendish.

"Kita tanam pisang ini bukan ambil anaknya dari benih tetapi kita ambil dari pengeluaran klon tisu kultur pisang.

Pengeluaran hasil pertama mengambil masa 10 bulan dan jangka hayat pisang ini boleh mengeluarkan tiga pusingan buah untuk satu pokok," katanya.

Beliau berkata bagi menjaga mutu dan kualiti produk, hanya hasil pertama iaitu 'premium gred' akan dipasarkan untuk eksport manakala hasil seterusnya untuk pasaran tempatan.

"Kita (Felda) juga membuat kerjasama bersama Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) serta Jabatan Pertanian Negeri bagi menjayakan usaha ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain