suria

Dua Pemandu Teksi Maut Digilis Lori Pasir

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pemandu teksi untuk menimang cahaya mata ketiga tidak kesampaian apabila maut setelah motosikal yang diboncengnya dirempuh sebuah lori pasir, di Jalan Tasik Permai, Ampang, di sini, Sabtu.

Dalam kemalangan ngeri pada 11.30 pagi itu, Muhammad Syafiq Yahya dan rakannya Saiful Ramli, kedua-dua berumur 24 tahun, maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Honda Wave yang mereka tunggang dirempuh dari belakang oleh lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata akibat pelanggaran itu mereka digilis oleh lori berkenaan yang menyebabkan kepala mereka hancur serta isi perut terburai di atas jalan raya.

Beliau berkata ketika kejadian Muhammad Syafiq dan Saiful, kedua-duanya bekerja sebagai pemandu teksi, dipercayai dalam perjalanan dari kawasan rumah mereka di Taman Industri Lembah Jaya untuk membeli peralatan membaiki teksi.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala pemandu lori berumur 54 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, isteri Muhammad Syafiq, yang sedang sarat mengandung lima bulan dan hanya mahu dikenali sebagai Nurul Huda, 25, berkata beliau tidak menyangka hari ini merupakan kali terakhir suaminya menghantarnya ke tempat kerja.

"Suami saya selalu bergurau dengan saya...semalam dia ada katakan dia tidak dapat membantu saya membasuh baju lagi...semua dia suruh saya buat sendiri, saya tidak sangka ia merupakan gurauan yang ada makna disebaliknya," katanya dengan hiba ketika ditemui Bernama Rumah Mayat HKL.

Nurul Huda berkata suaminya merupakan anak bongsu dari tiga adik-beradik dan mempunyai dua orang anak berusia lima tahun dan lapan bulan selain menunggu kelahiran anak ketiga.

Dalam pada itu, saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Mamat, 31, berkata beliau melihat motosikal mangsa dihimpit terlebih dahulu sebelum terjatuh dan digilis.

"Saya kesal pemandu lori itu memandu secara berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan dua nyawa melayang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain