suria

Anggota Parti Politik Tidak Seharusnya Amalkan Perlakuan Samseng - Pemerhati Politik

KUALA LUMPUR: Anggota parti-parti politik tidak seharusnya mengamalkan perlakuan samseng kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja memberi imej buruk kepada parti tetapi juga impak negatif terhadap masyarakat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata perlakuan sedemikian juga seolah-olah mendidik masyarakat bahawa tidak salah melanggar undang-undang.

"Mana-mana parti politik tidak sepatutnya dan tidak boleh mempromosikan perlakuan samseng itu.

"Menerusi kajian yang saya pernah buat dahulu, perlakuan itu hanya dilakukan oleh anggota akar umbi," katanya kepada Bernama di sini,Sabtu.

Ahmad Atory berkata demikian ketika mengulas kejadian-kejadian yang didakwa dilakukan samseng-samseng politik pihak lawan seperti merosakkan harta benda.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata perlakuan samseng tidak boleh dibiarkan berterusan kerana rakyat akan menilai bukan kepada pelaku tetapi kepada parti.

Beliau juga berpandangan perlakuan terbabit terjadi kerana tahap kematangan berpolitik di Malaysia masih rendah seperti melibatkan fitnah dan menidakkan usaha kerajaan, yang tidak sepatutnya berlaku di negara membangun yang semakin maju seperti Malaysia.

"Di luar negara, mereka berselisih faham hanya di dalam Parlimen dan tidak terbawa-bawa di luar. Di Malaysia pihak lawan seringkali menyatakan semua yang dibuat kerajaan tidak betul. Mereka akan menentang sedaya-upaya.

"Ada contoh baik di luar negara yang boleh dilihat (contohnya) di Australia. Mereka hanya akan berkempen menentang pihak lawan ketika pilihan raya sahaja. Inilah satu perlakuan yang matang yang sepatutnya diambil teladan oleh ahli politik kita," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata sudah tiba masanya untuk anggota pembangkang di negara ini mematangkan fikiran dan berpolitik ke arah yang lebih bertamadun, termasuk menerima hakikat dan menyokong usaha cemerlang yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat.

Beliau berkata tindakan menuduh orang lain merupakan perbuatan paling mudah semata-mata untuk menutup kelemahan dan mengalihkan perhatian masyarakat daripada perkara pokok atau masalah lebih besar yang sedang dihadapi pembangkang.

"Sikap menyalahkan orang lain adalah sikap orang yang gagal kerana kita tidak akan gagal selagi kita tidak menyalahkan orang lain di atas kelemahan diri kita," katanya.

Sambil menafikan keras dakwaan pihak lawan terhadap Umno, beliau berkata, " Kita kini sibuk menjayakan program transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada masa untuk melakukan perbuatan samseng," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain