suria

Penganggur Menyamar Polis Ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang menyamar sebagai anggota polis di Pangsapuri Mutiara, Batu Feringghi, di sini tengah hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat dua wanita warga Indonesia pagi tadi yang antara lain menyatakan diganggu seorang lelaki yang mendakwa anggota polis.

"Dalam kejadian itu, mangsa dihampiri suspek kira-kira 10.30 malam tadi yang kemudian mengekori mereka hingga ke rumah dan menunjukkan kad kuasa polis sebelum meminta kad pengenalan kedua-duanya.

"Namun mereka enggan kerana gerak-geri lelaki itu yang mencurigakan, menyebabkan suspek mengugut untuk datang lagi keesokan hari dan menangkap mereka," katanya ketika dihubungi.

Gan berkata polis yang membuat siasatan berdasarkan laporan wanita terbabit menemui lelaki berkenaan berlegar-legar di kawasan pangsapuri itu sebelum menangkapnya.

Hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki terbabit mempunyai sekeping kad kuasa polis palsu dan sebilah pisau dapur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Lain