suria

Tujuh Pekerja Binaan Ditahan Main Judi Bola Golek

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh orang buruh binaan yang sedang asyik berjudi bersama empat orang penganjur permainan judi tersebut dan merampas wang pertaruhan bernilai RM400 dalam serbuan kali kedua di sebuah tapak pembinaan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan dekat sini malam Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Serdang ASP Basri Sagoni berkata tujuh pekerja itu merupakan warga Indonesia manakala empat orang penganjur adalah warga tempatan yang berumur lingkungan 20-an hingga 40-an.

Katanya cara perjudian dijalankan adalah dengan menggunakan sekeping papan yang terdapat lekukan serta sebiji bola sebagai penentu bagi pertaruhan.

"Pemain terlebih dahulu perlu mencabut sekeping kertas yang berwarna dan meletakkan wang taruhan mereka dengan nilai antara 50 sen dan RM100.

"Kemudian bola itu akan digolekkan di atas papan tersebut dan sekiranya bola tadi masuk pada lekuk yang berwarna sama dengan warna kertas yang dicabut oleh pemain, wang taruhan itu tadi akan digandakan kepada 10 kali ganda nilai yang dipertaruhkan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Basri berkata jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain