suria

Surat Tun M Bukti Bukti Pendirian Konsisten Kerajaan - TPM

KUALA TERENGGANU: Surat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel jelas membuktikan pendirian konsisten kerajaan yang tidak mengiktiraf negara penjajah itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isi kandungan surat yang disiarkan media itu turut membuktikan kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

"Kerajaan bersetuju mengeluarkan kandungan surat kepada tiga Perdana Menteri Israel itu sebagaimana dipaparkan media hari ini. Ia menjelaskan pendirian kerajaan kita dari zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, (yang) kita tidak bersetuju dengan tindakan ganas Zionis Israel.

"Juga boleh dilihat dalam surat itu kita minta pihak Israel berundur dari kawasan diduduki dan jangan meneruskan kezaliman terhadap rakyat Palestin," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Timbalan Perdana Menteri sebelum itu mengadakan perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan persekutuan di Terengganu sempena lawatan kerja sehari beliau ke negeri ini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Kerajaan hari ini menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat Dr Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Surat berkenaan ialah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin yang bertarikh 21 Disember 1993; surat kepada Benjamin Netanyahu, bertarikh 14 Mac 1997; dan surat kepada Ehud Barak, yang bertarikh 8 Jun 1999.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sejak dahulu lagi, Malaysia mahu rakyat Palestin mempunyai negara sendiri dengan kedaulatan dan hak mereka dihormati, tidak dizalimi dan dibunuh serta penempatan mereka tidak dirampas sewenang-wenangnya oleh Israel.

"Jelas kerajaan Barisan nasional (BN) dalam soal ini tidak berdolak dalih, tidak seperti Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Waktu dia (Anwar) dalam kerajaan dan dalam Umno dulu, dia bersama-sama dukung cita-cita kita mengenai nasib dan masa depan Palestin, tapi kini dia pentingkan keselamatan Israel. Itu yang diutamakan, soal rakyat Palestin yang dizalimi, tiada pembelaan langsung," katanya.

Muhyiddin berkata dasar dan pendirian kerajaan berhubung Israel tetap tidak berganjak dari zaman pentadbiran Dr Mahathir sehinggalah kepada Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sehingga hari ini pun, usaha kita dalam membantu rakyat Palestin yang tertindas berterusan, bantuan kemanusiaan yang kita salurkan kepada mereka juga masih berterusan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain