suria

Isu Erykah Badu Harus Dijadikan Pengajaran

Erykah Badu
Erykah Badu
Erykah Badu

KONSERT penyanyi dari Amerika Syarikat, Erykah Badu pada 29 Februari lalu dibatalkan atas alasan penyanyi itu tampil dengan imej tidak bermoral apabila melakarkan tatu pada badannya dengan kalimah Allah.

Isu tersebut tercetus apabila akhbar The Star menerusi sisipan Star Two keluaran 27 Februari lalu telah menyiarkan gambar berkenaan. Gambar itu sememangnya dalam simpanan pihak pengurusan penyanyi itu.

Dek kerana penyiaran gambar itulah suasana industri hiburan juga menjadi kecoh apabila pihak-pihak berkepentingan politik menuntut agar konsert beliau diharamkan.

Malah akhbar The Star yang dikatakan tidak sensitif apabila menyiarkan gambar berkenaan telah mengambil pendekatan memohon maaf serta menggantung tugas dua orang pengarang mereka yang bertanggungjawab dalam meluluskan gambar itu.

Isu yang hendak saya bangkitkan sekarang ialah kenapa selepas gambar berkenaan disiarkan, pembatalan konsert tersebut baru hendak dibuat?

Saya enggan menyalahkan sesiapa tetapi saya ingin mempersoalkan peranan yang dimainkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Puspal adalah agensi yang diwujudkan untuk menilai dan membenarkan sesebuah konsert ataupun apa-apa acara yang melibatkan kemasukan artis Barat di negara ini sebelum permit diterbitkan.

Penganjur pertunjukan akan berjumpa Puspel dengan membawa segala macam proposal untuk menyokong sesebuah acara yang mahu dianjurkan mereka.

Sebelum permit dikeluarkan, Puspal akan mengkaji dahulu artis atau kumpulan muzik yang hendak dibawa masuk ke negara ini.

Malangnya, apakah peranan yang dimainkan oleh Puspal selama ini? Mereka seharunya lebih sensitif sebelum membenarkan Erykah Badu dibenarkan membuat persembahan.

Saya difahamkan, pihak penganjur telah berjumpa dengan Puspal sejak beberapa bulan untuk mendapatkan kelulusan membawa masuk artis berkenaan.

Persoalannya, kenapa Puspal tidak menyiasat dahulu latar belakang artis terbabit termasuklah tuduhan kononnya penyanyi berkenaan tidak sensitif dengan budaya masyarakat tempatan.

Gambar-gambar yang dianggap tidak senonoh Erykah sebenarnya bersepah di Internet. Biografi mengenainya tidak sukar untuk diperolehi.

Seharusnya kajian terhadap seseorang artis itu perlu dibuat secara mendalam sebelum mereka dibenarkan untuk membuat persembahan di negara ini.

Pembatalan konsert Erykah Badu adalah satu bukti bahawa kerajaan tegas dengan apa juga aktiviti yang dilihat boleh merosakkan pemikiran masyarakat dan menggalakkan budaya kurang sihat disebarkan di negara ini.

Tetapi jika isu gambar tidak berlaku, saya pasti Erykah Badu akan tampil aksi yang mungkin akan mengejutkan kita. Dan pada ketika itu, siapakah yang hendak dipersalahkan pula?

Saya berharap pada masa akan datang pihak Puspal hendaklah melaksanakan tugas mereka dengan lebih efisien agar masalah seperti ini tidak akan berulang.

Apa yang lebih penting, isu Erykah Badu itu harus menjadi pengajaran kepada semua artis termasuklah artis tempatan iaitu isu melibatkan agama bukan perkara yang harus dipersendakan. Semua agama melarang mengenainya.

NIEZAM: Teringin nak tengok ‘show’ wayang kulit!

Artikel Berikut

Artikel Lain