suria

"SAYA PERLUKAN BANTUAN ANDA SEGERA..."

HARI ini penulis menerima satu lagi kiriman emel. Orang yang menghantar kiriman emel tersebut menulis dalam bahasa Inggeris. Setelah diterjemah, kandungannya berbunyi begini:

“Saya memohon maaf kerana terpaksa menghubungi anda dalam keadaan seperti ini. Saya telah berkunjung ke Madrid, Sepanyol dan beg serta pasport serta kad kredit saya telah dicuri. Saya kini benar-benar terkandas di sini.

“Saya telah menghubungi bank saya tetapi mereka memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk mengeluarkan kad kredit yang baru.

“Jadi saya memikirkan mungkin anda dapat membantu saya dengan meminjamkan AS$3,000 dengan segera atau jika tidak dapat mencari wang sebanyak itu, berapa yang anda mampu pun memadailah.

“Wang bantuan anda boleh dikirim melalui Western Union ke atas nama saya dan juga alamat yang saya sertakan bersama-sama emel ini untuk membolehkan saya menyelesaikan masalah ini dan dengan segera kembali ke tanah air.

“Pihak polis setakat ini hanya meminta saya membuat kenyataan mengenai insiden tersebut dan kemudian merujuk saya kepada pihak kedutaan.

“Setelah saya bercakap dengan pihak kedutaan saya dapati mereka tidak begitu respon kepada masalah saya. Oleh yang demikian saya memutuskan untuk menghubung anda bagi memperolehi bantuan.

“Jangan lupa untuk emel kepada saya nombor rujukan penghantaran wang dan jumlah bantuan yang anda berikan. Saya akan memeriksa kembali akaun emel saya nanti.

“Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda kerana memahami keadaan saya yang tersepit sekarang. Buat masa ini saya masih kuat untuk menghadapi situasi ini dan apa yang saya perlukan hanyalah bantuan kewangan daripada anda.

“Tolong rahsiakan perkara ini dan jangan hebahkannya kerana saya tidak mahu orang ramai berasa bimbang dan resah dengan keadaan saya di sana.

“Saya berharap anda memahami situasi saya sekarang apatah lagi saya mempunyai akses yang sangat terhad ke atas emel saya pada waktu ini. Saya perlu berjalan kaki 25 minit untuk ke perpustakaan awam bagi memperolehi akses internet dan itu pun saya dibenar menggunakan komputer selama setengah jam sahaja.

“Situasi ini sangat teruk tetapi sekali lagi tolong simpan rahsia ini dan jika anda benar-benar mengambil berat akan masalah saya tolong maklumkan bilakah anda dapat menghantar bantuan kewangan yang saya perlukan untuk keluar dari sini.

“Saya akan membayar balik bantuan yang anda berikan itu sebaik sahaja saya dapat keluar dan kembali ke tanah air.”

Penulis tertanya-tanya berapa orangkah yang telah menerima emel seperti ini di dalam inbox mereka dan berapa ramaikah pula yang terpedaya dan mempercayainya.

Harap-harap tidak kerana nampak sangat ini adalah satu bentuk tipu daya.

Sekian harap maklum.

Artikel Lain