suria

Phahrolrazi Arah Amiruddin Letak Jawatan Exco

ALOR SETAR: Krisis politik di Kedah terus berlarutan apabila Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengarahkan timbalanya, Datuk Amiruddin Hamzah agar meletak jawatan exco sebagai tanda sokongan terhadapnya.

Phahrolrazi berkata, arahan berkenaan selaras dengan usul yang diluluskan PAS kawasan itu pada 17 Februari lalu bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Kuala Kedah iaitu Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Jerangau) tidak perlu menerima jawatan exco sebagai sokongan untuk beliau.

Menurut Phahrolrazi, usul itu telah diluluskan pada mesyuarat yang dihadiri oleh Mohd Nasir dalam kapasiti beliau sebagai naib yang dipertua kawasan.

Seramai 22 ahli jawatankuasa menghadiri mesyuarat itu, termasuk wakil-wakil daripada sayap pemuda dan muslimat.

Bagaimanapun Amiruddin tidak hadir.

Jelas Phahrolrazi, keputusan berkenaan sudahpun disampaikan kepada Amiruddin menerusi surat.

Namun katanya surat kedua akan dihantar kepada Amiruddin tidak lama lagi, bagi menuntut penjelasan dalam tempoh 14 hari kerana mengabaikan arahan tersebut.

"Jika Amiruddin mahu menyokong saya, beliau patut berhenti (sebagai ahli exco). Jika dia mahu terus kekal sebagai ahli exco, dia akan terasing dalam kawasan ini," kata Phahrolrazi.

Dalam pada itu Amiruddin berkata beliau sudahpun menjelaskan kepada PAS kawasan selepas mesyuarat pada 17 Februari lalu mengenai tindakannya menerima pelantikan exco.

"Tapi oleh kerana mereka mahu saya menjelaskan lagi, saya akan berbuat demikian apabila saya menerima surat (kedua)," katanya.

Artikel Lain