suria

Penuntut Kolej Ditahan Bantu Kes Lelaki Dibakar

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua penuntut wanita sebuah kolej swasta di Shah Alam bagi membantu siasatan kes remaja lelaki Muhammad Syahirudin Mohd Shauki yang melecur hampir 80 peratus selepas dibakar di ladang kelapa sawit di Sungai Tengi Gedangsa, Hulu Selangor, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Afendi memberitahu Bernama hari ini dua wanita berumur 19 dan 20 berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 petang di rumah sewa mereka di Shah Alam semalam.

"Kita tahan kedua-dua mereka bagi membantu siasatan kes ini sama ada mereka ada kaitan dengan insiden mangsa dibakar," katanya.

Norel Azmi berkata kedua-dua wanita itu ditahan reman mulai hari ini selama seminggu.

Dua hari lepas, Muhammad Syahirudin ditemui dengan kesan kelecuran 80 peratus di badannya selepas disimbah petrol dan dibakar oleh beberapa individu yang dikenali mangsa.

Mangsa kini dilaporkan koma di Hospital Sungai Buluh. BERNAMA

Artikel Lain