suria

"Pengurusan Baru" Parti Kita Hantar Laporan Kepada ROS

PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim, yang mengisytihar dirinya sebagai presiden baru parti berkenaan, pada Rabu menghantar "laporan rasmi" kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini.

Beliau berkata laporan itu bertujuan memberi penjelasan mengenai pelbagai peristiwa dalam parti itu sejak bulan lepas, yang menurutnya sehingga membawa kepada pemilihan beliau untuk menerajui parti pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Kita di Kota Baharu Sabtu lalu.

Katanya laporan itu turut memberi penjelasan mengenai penolakan keputusan parti sebelum ini yang memecat beberapa pemimpin parti termasuk beliau sendiri selaku Pengerusi Parti Kita Kedah, selepas keputusan itu dilihat tidak mematuhi perlembagaan parti.

"Saya yakin ROS boleh menilai sendiri, kerana itu kami bagi semua kronologi peristiwa yang berlaku dalam parti dan ROS boleh lihat, adakah Datuk Zaid Ibrahim (presiden parti) mengikut perlembagaan selama ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan laporan kepada ROS di sini.

Sementara itu, setiausaha parti Kita Masrum Dayat dalam satu kenyataan tiga hari lepas berkata mesyuarat di Kota Baharu itu bukan mesyuarat parti Kita.

Parti Kita yang ditubuhkan kira-kira setahun lalu, diberikan surat tunjuk sebab oleh ROS pada 9 Feb bagi menjelaskan kenapa parti itu tidak boleh dibatalkan pendaftaran selepas didapati melanggar beberapa peruntukan parti dan pertubuhan. - BERNAMA

Artikel Lain