suria

Kerajaan Belum Sedia Tukar Petrol Kepada NGV Untuk Teksi Di Kelantan

KOTA BAHARU: Kerajaan belum bersedia menukarkan penggunaan petrol kepada gas cecair asli (NGV) untuk kenderaan, terutama teksi di Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kos untuk menyediakan peralatan bagi membolehkan bahan itu disalurkan di negeri ini lebih tinggi berbanding negeri lain, seperti di Pantai Barat, walaupun penggunaan bahan itu lebih menjimatkan untuk teksi.

"Sebab itu, kerajaan belum bersedia untuk menukarkan penggunaan bahan bakar dari minyak kepada gas seperti dicadangkan pemandu teksi di negeri ini," katanya dalam sesi dialog sempena Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, malam Selasa.

Terdahulu, seorang peserta yang mewakili Persatuan Pemandu Teksi dari Pasir Mas, Alias Ahmad, menyarankan kerajaan menyediakan kemudahan NGV atau gas untuk dijadikan bahan bakar untuk kenderaan teksi kerana ia lebih menjimatkan berbanding petrol sebagaimana teksi di kawasan Pantai Barat.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata bagaimanapun perkara itu tidak mustahil boleh dilakukan jika Kelantan mempunyai kemudahan infrastruktur untuk penggunaan bahan itu.

"Setakat ini, pengusaha stesen minyak di negeri ini tidak mampu menyediakan kemudahan gas itu kerana kosnya lebih tinggi berbanding dengan perkhidmatan stesen petrol," katanya.

Mustapa berkata rakyat setiap peringkat di negeri ini perlu merebut peluang dan menerima hakikat bahawa mereka harus menghadapi perubahan pembangunan sebagaimana negeri lain.

Apa yang penting, mereka harus mengekalkan kestabilan dari segi politik dan ekonomi bagi membolehkan segala pembangunan di negara ini dapat dinikmati sepenuhnya. Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustaffa adalah antara kira-kira 1,000 pemimpin masyarakat dan NGO yang hadir pada majlis itu. -BERNAMA

Artikel Lain